30 warga asing ditahan dalam Ops Sapu di sekitar Kuching dan Lundu

Facebook
WhatsApp
SERAMAI 30 warga asing, terdiri daripada 25 lelaki dan lima perempuan, ditahan dalam Operasi Sapu JIM Sarawak. Foto JIM Sarawak

KUCHING, 13 Oktober: Seramai 30 warga asing ditahan dalam Operasi Sapu yang dijalankan oleh Jabatan Imigresen (JIM) Sarawak di empat lokasi sekitar Kuching dan Lundu, dari semalam hingga awal pagi ini.

Menurut kenyataan JIM Sarawak, operasi yang berlangsung dari 7.00 malam hingga 5.00 pagi itu menyaksikan seramai 46 individu diperiksa oleh 22 anggota penguat kuasa jabatan berkenaan.

Daripada jumlah yang ditahan, 25 merupakan lelaki manakala lima lagi perempuan, terdiri daripada 29 warga Indonesia dan seorang warga Thailand.

“Operasi di Lundu tertumpu pada pemeriksaan rumah pekerja di sebuah ladang sawit, yang membawa kepada penahanan 23 warga asing daripada 29 individu yang diperiksa.

“Pemeriksaan turut dijalankan di sebuah rumah kongsi di ladang sawit di Kampung Pasir Tengah, yang membawa kepada penahanan tiga warga asing daripada empat individu yang diperiksa,” menurut kenyataan itu.

Selain kawasan ladang sawit, operasi berkenaan turut menyasarkan premis penginapan di sekitar Kuching.

“Antara lokasi yang diperiksa ialah sebuah bilik sewa di Saradise Point Stay serta sebuah bilik sewa di tingkat atas Warong Express, Chonglin Park, Jalan Tabuan.

OPERASI Sapu di sekitar Kuching dan Lundu menyasarkan kawasan ladang sawit serta premis penginapan bagi mengesan warga asing yang disyaki melanggar peraturan imigresen. Foto JIM Sarawak

“Hasil pemeriksaan di lokasi berkenaan mendapati beberapa individu disyaki melakukan kesalahan imigresen, manakala individu lain didapati memiliki dokumen perjalanan yang sah atau merupakan warganegara Malaysia.

“Kesemua warga asing yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” menurut kenyataan itu.

Dalam operasi sama, satu Borang 29 turut dikeluarkan bagi tujuan siasatan lanjut.

JIM Sarawak memaklumkan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi membanteras pelanggaran undang-undang imigresen di negeri ini.

Sehubungan itu, majikan dan pemilik premis diingatkan supaya memastikan setiap warga asing yang bekerja atau tinggal di premis masing-masing memiliki dokumen perjalanan dan pas yang sah.

“Kerjasama semua pihak penting bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta membendung penggajian dan penempatan warga asing tanpa dokumen yang sah,” menurut kenyataan itu.

Gunung Semeru meletus, abu cecah 900 meter

JAKARTA, 13 Oktober: Gunung Semeru di Jawa Timur, Indonesia, meletus sekurang-kurangnya 10 kali pada Selasa, menghamburkan abu gunung berapi sehingga