SARIKEI: Seramai 30 peserta daripada 11 koperasi di Bahagian Sarikei dan Sibu telah menyertai Kursus Pengurusan dan Pentadbiran Koperasi selama dua hari yang dianjurkan oleh Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Zon Sarawak.
Kursus yang berlangsung pada 15 dan 16 April lepas itu diadakan di Dewan Koperasi Qariah Masjid Nur Permai, dengan objektif memperkasakan pengetahuan peserta dalam aspek pengurusan serta integriti dalam pentadbiran koperasi.
Pensyarah Kanan IKMa Zon Sarawak, Mohamad Suandi Mortadza, berkata kursus ini bertujuan memberi pendedahan tentang ciri-ciri pentadbiran koperasi yang berkesan serta amalan pengurusan yang baik.
“Ia juga memberi kefahaman kepada peserta tentang kepentingan mengurus koperasi mengikut peruntukan undang-undang,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.
Antara tajuk yang dibincangkan termasuklah Kefahaman Koperasi, Peranan Anggota Lembaga Koperasi, Pengurusan Mesyuarat Agung Tahunan Koperasi, serta Integriti dalam Koperasi.
Tambahnya, beliau dibantu oleh dua lagi tenaga pengajar IKMa Zon Sarawak, iaitu Vronica Kumang dan Sharon Dominic dalam mengendalikan kursus berkenaan.
“Kami berharap kursus ini dapat membantu koperasi mencapai visi dan matlamat penubuhan masing-masing,” ujarnya.
Oleh Earl Anek