MIRI: Lebih 100 peserta menghadiri sesi dialog awam bertajuk ‘Daripada Visi kepada Tindakan: Membentuk Zon Ekonomi Khas Miri-Kuala Baram-Kuala Belait (MKBs-SEZ)’ bagi membincangkan dan memajukan cadangan penubuhan zon ekonomi khas antara Miri, Sarawak dan Brunei.
Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man berkata, sesi dialog awam yang berlangsung semalam itu dianjurkan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen P.219 Miri dengan kerjasama badan pemikir bebas, Pusat Kajian Strategik Serantau (CROSS).
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan menghidupkan semula perbincangan mengenai MKBs-SEZ, selain memastikan penglibatan aktif masyarakat Miri dalam proses penubuhannya.
“Sejak menjadi Ahli Parlimen, saya telah berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan perhatian dan pelaksanaan Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan infrastruktur Miri.
“Namun, kita masih memerlukan strategi menyeluruh untuk menterjemahkan pembangunan infrastruktur itu kepada pelaburan, perdagangan, perniagaan dan peluang pekerjaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Chiew berkata, Miri tidak boleh terus bergantung kepada sektor minyak dan gas, perladangan serta perbelanjaan hujung minggu daripada pengunjung negara jiran, Brunei, sedangkan peluang ekonomi di luar sektor berkenaan masih terhad.
Menurutnya, kedudukan Miri yang berdekatan dengan Brunei Darussalam merupakan antara kekuatan utama yang boleh dimanfaatkan untuk mewujudkan zon ekonomi rentas sempadan antara Sarawak dan Brunei.
“Ini merupakan peluang untuk mengembangkan ekonomi kedua-dua wilayah dengan menggabungkan kekuatan masing-masing bagi menembusi pasaran ASEAN dan pasaran antarabangsa yang lebih luas.
“Bagaimanapun, usaha ini memerlukan tindakan sebenar, kajian kebolehlaksanaan yang serius, persetujuan antara kerajaan serta penglibatan rapat pihak perniagaan, pekerja, komuniti dan pakar,” katanya.
Beliau berkata, cadangan MKBs-SEZ pernah dikemukakannya pada 2025 dan kerjasama terbaharu dengan Prof. Wong Chin Yoong serta CROSS kini menyediakan kerangka awal bagi menjadikan zon ekonomi khas itu sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi Miri.
Sesi dialog awam itu turut menampilkan pembentangan terperinci mengenai kertas konsep MKBs-SEZ bagi tempoh 2027 hingga 2030 oleh Prof. Wong Chin Yoong, Profesor Ekonomi di Fakulti Perniagaan dan Kewangan Teh Hong Piow, Universiti Tunku Abdul Rahman.
Pembentangan itu disusuli sesi perbincangan panel interaktif bersama pemegang taruh utama bagi meneliti kebolehlaksanaan inisiatif berkenaan.
Chiew berkata, kesediaan, iltizam politik dan kerjasama erat antara kerajaan serta sektor swasta amat penting bagi memastikan cadangan zon ekonomi khas itu dapat direalisasikan.
“Kita memerlukan kesediaan dan iltizam politik serta kerjasama erat daripada semua pihak, termasuk kerajaan dan sektor swasta, bagi memastikan inisiatif ini berjaya,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta yang menghadiri sesi dialog awam semalam disifatkannya sebagai titik permulaan penting dalam melibatkan masyarakat serta mendapatkan pandangan orang ramai.
Menurut Chiew, beliau sebelum ini turut menganjurkan sesi dialog awam mengenai subsidi diesel dan akan terus menggunakan platform berkenaan untuk mendengar pandangan penduduk Miri.
“Saya akan terus menganjurkan sesi dialog awam berkaitan pelbagai topik supaya dapat sentiasa mendengar pandangan penduduk Miri dan mendapatkan maklum balas mereka.
“Bersama-sama, kita mampu membangunkan Miri,” katanya.
Orang ramai yang ingin berkongsi pandangan mengenai cadangan MKBs-SEZ boleh menghubungi CROSS menerusi e-mel [inquiry@crossthinktank.com](mailto:inquiry@crossthinktank.com) atau Pusat Khidmat Parlimen Miri di talian 012-852 0946.
Oleh Liong Chai Ling




