KUCHING: Sebanyak 298 wakil badan agama-agama lain di seluruh negeri menerima bantuan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) berjumlah RM38.747 juta.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, dana itu merupakan peruntukan yang diluluskan oleh Kerajaan Sarawak berjumlah RM50 juta tahun ini untuk kegunaan membaik pulih rumah ibadat agama-agama lain.
Menurut Uggah, terdapat baki RM12 juta lagi bakal diagihkan kepada permohonan yang layak bagi tempoh sebulan dari sekarang.
“Penyerahan dana ini adalah pertama kali untuk tahun ini dan ia diserahkan agak lewat kerana berlakunya wabak Covid-19,” katanya.
Uggah yang merupakan Menteri Bertanggungjawab untuk UNIFOR berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Sumbangan Dana Bantuan UNIFOR di Wisma Bapa semalam.
Uggah mengakui penyerahan dana itu membuktikan Kerajaan Sarawak prihatin terhadap keperluan penduduk pelbagai agama di Sarawak.
“Kerajaan juga sedar akan kesulitan yang dihadapi oleh institusi agama-agama lain dalam mengumpul dana pembangunan rumah ibadah masing-masing terutama sekali yang berada di luar bandar,” ujarnya.
Menurut Uggah pada tahun 2017, sebanyak 77 permohonan dana dari pelbagai institusi agama-agama lain di seluruh Sarawak bagi projek pembinaan, penambahbaikan dan baik pulih rumah ibadah telah diluluskan melibatkan dana berjumlah RM15 juta iaitu 65 permohonan daripada institusi agama kristian pelbagai denominasi, 9 Buddha dan 3 Sikh.
Bagi tahun 2018 pula, kata Uggah sebanyak RM20 juta telah diluluskan oleh Kerajaan Sarawak dan peruntukan ini telah meningkat kepada RM30 juta bagi tahun 2019.
“Dengan sumbangan daripada kerajaan ini, diharapkan agar projek dapat disiapkan mengikut jadual terutama sekali projek yang telah bermula beberapa tahun lalu namun masih belum siap dan terbengkalai disebabkan kekurangan dana,” ujarnya.
Ugah mendedahkan Pegawai UNIFOR juga akan turun padang untuk memantau perkembangan projek ini agar langkah intervensi dapat diambil jika perlu bagi memastikan projek dapat disiapkan dalam kos dan tempoh masa yang ditetapkan.
“Kerajaan menyeru kepada semua institusi keagamaan yang telah diluluskan permohonan agar menggunakan dana ini sebaiknya demi manfaat umat masing-masing,
“Ahli-Ahli Yang Berhormat juga diseru untuk turut sama membantu institusi agama-agama lain di kawasan masing-masing agar keperluan komuniti di kawasan mereka akan dapat direalisasikan,” tegasnya.
Majlis menyaksikan seramai 52 wakil rakyat di seluruh negeri menerima dana bantuan UNIFOR itu sebagai orang tengah untuk menyerahkan bantuan berkenaan kepafa penerima di kawasan mereka masing- masing.
Oleh Diyana Samsuddin