ASAJAYA: Membesar bersama, belajar dalam kelas yang sama dan saling bersaing secara sihat sejak di bangku sekolah, pasangan kembar dari Kampung Serpan Laut kini meneruskan perjalanan pendidikan mereka di universiti yang sama.
Alya Iwanina Isa dan Alya Imanina Isa, masing-masing kini mengikuti pengajian tahun pertama di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), namun memilih bidang berbeza mengikut minat masing-masing.
Iwanina mengikuti pengajian dalam bidang Sinematografi, manakala kembarnya, Imanina, memilih bidang Reka Bentuk Teknologi, dengan kedua-duanya mengikuti pengajian di bawah Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK).
Pasangan kembar itu merupakan antara penerima sijil pada Majlis Kesyukuran Pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Program Skor A 2025 di Pejabat Daerah Asajaya, hari ini.
Menurut Iwanina, mereka sudah terbiasa belajar bersama sejak di bangku sekolah, malah persaingan antara mereka lebih kepada dorongan untuk memperbaiki pencapaian masing-masing.
Bagaimanapun, melangkah ke alam universiti membawa cabaran baharu, terutama dari segi perbelanjaan kerana bidang kreatif memerlukan pelbagai kelengkapan dan bahan bagi melaksanakan tugasan pengajian.
“Fakulti kami banyak memerlukan perbelanjaan untuk membeli barangan seni dan kelengkapan pengajian. Ada juga keperluan seperti komputer riba, jadi bantuan ini sangat membantu.
“Sedikit sebanyak, kami tidak perlu bergantung sepenuhnya kepada duit ibu bapa dan ia dapat meringankan beban mereka,” katanya ketika ditemui.
Mereka turut menzahirkan penghargaan atas insentif yang diterima kerana bantuan berkenaan dapat digunakan untuk menyediakan keperluan sepanjang pengajian.
Bagi pasangan kembar itu, perjalanan di universiti masih panjang, namun peluang melanjutkan pengajian bersama menjadi ruang untuk mereka terus saling menyokong sambil mengejar impian dalam bidang kreatif pilihan masing-masing.
Oleh Norman B





