29 hektar kawasan kebakaran hutan gambut di Jalan Bungin-Serembang berjaya dipadam

Facebook
WhatsApp
KAWASAN hutan gambut yang terbakar di Jalan Bungin-Serembang, Spaoh, membabitkan keseluruhan kawasan kira-kira 35 hektar. Foto BBP Betong

SPAOH: Sebanyak 29 hektar daripada keseluruhan 35 hektar kawasan kebakaran hutan gambut di Jalan Bungin-Serembang berjaya dipadamkan dalam operasi hari ketiga, hari ini.

Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, operasi pemadaman pada hari ini melibatkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong yang bergerak ke lokasi pada 8.55 pagi dan tiba kira-kira sejam kemudian.

Operasi pemadaman bermula pada 10.00 pagi dengan kawasan kebakaran dibahagikan kepada empat sektor bagi memudahkan tindakan pemadaman dan kawalan api.

ANGGOTA Bomba menjalankan operasi pemadaman kebakaran hutan gambut di Jalan Bungin-Serembang, Spaoh, hari ini. Foto BBP Betong

Di Sektor D, pasukan menggunakan pam dengan sumber air dari parit sepanjang kira-kira 300 kaki, manakala pam dengan saluran 400 kaki digunakan di Sektor B.

Sebuah jentera Fire and Rescue Tender (FRT) turut digunakan bagi pemadaman di laluan Sektor B dan D menerusi salur bantu mula sepanjang 100 kaki.

Selain itu, dua jentera jengkaut digunakan bagi membantu operasi, termasuk menggali parit untuk mendapatkan sumber air serta membina fire break bagi menghalang api daripada terus merebak.

SEBANYAK 29 hektar daripada keseluruhan 35 hektar kawasan kebakaran hutan gambut di Jalan Bungin-Serembang berjaya dipadamkan dalam operasi hari ketiga, hari ini. Foto BBP Betong

Menurut PGO JBPM Sarawak, daripada keseluruhan kawasan yang terbakar, enam hektar masih belum berjaya dipadamkan dan usaha pemadaman serta kawalan akan diteruskan.

Operasi bagaimanapun ditangguhkan pada 6.10 petang berikutan keadaan semakin gelap dan dijadualkan disambung semula pada keesokan hari.

Antara cabaran utama yang dihadapi pasukan di lokasi ialah laluan yang sempit dan sukar dilalui, ketiadaan sumber air berhampiran kawasan terbakar serta litupan GIRN dan rangkaian telefon yang kurang memuaskan.

Operasi itu melibatkan 12 anggota BBP Betong dengan kekuatan aset sebuah FRT, sebuah water tanker, sebuah Hilux dan sebuah van Urvan, selain dibantu lima anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta 17 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Kebakaran hutan gambut berkenaan dilaporkan bermula pada Sabtu lalu selepas PGO JBPM Sarawak menerima panggilan kecemasan pada 2.44 petang.

Oleh Adi Safarman