LAWAS: Seramai 28 anggota dan pegawai Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lawas digerakkan bagi membantu urusan pengusungan, pengebumian dan penghormatan terakhir Allahyarham Konstabel Abdul Aziz Sulaiman, 41, yang berasal dari Lawas dan berkhidmat sebagai anggota Balai Polis Matu, IPD Matu Daro.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Daro semalam.
Menurut kenyataan IPD Lawas, Allahyarham masih dalam perkhidmatan dan berasal dari Kampung Noor Islam, Kuala Lawas.

“Jenazah Allahyarham tiba di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Mengkalap, Lawas pada 7.09 malam dari Matu sebelum dibawa ke rumah keluarga di Kampung Noor Islam, Lawas dengan diiringi kenderaan polis Lawas.
“Jenazah Allahyarham kemudian diuruskan untuk solat jenazah sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Bukit Sari, Lawas pada 8.30 malam,” katanya dalam kenyataan itu.
Urusan pengebumian dilaksanakan pada 9.00 malam dengan anggota yang ditugaskan turut membantu pengusungan serta memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham sehingga selesai pengebumian.

IPD Lawas berkata, penglibatan 28 anggota dan pegawai berkenaan bertujuan memastikan segala urusan pengusungan dan pengebumian berjalan lancar.
“Bantuan yang diberikan ini merupakan manifestasi keprihatinan, kebersamaan dan solidariti warga PDRM dalam memastikan kebajikan anggota serta keluarga sentiasa diberikan perhatian, khususnya ketika berdepan dengan kehilangan insan tersayang,” katanya.
Pihak IPD Lawas turut merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga Allahyarham atas pemergian beliau.
Oleh Adeng Edrus





