COP31 dan El Niño ekstrem: Adakah dunia sedang memutar ‘tombol’ ke arah yang salah?

Facebook
WhatsApp

ARTIKEL terakhir saya berkaitan perubahan iklim diterbitkan pada 31 Ogos lalu, ketika kita diselubungi jerebu tebal dan kualiti udara merosot ke tahap sangat tidak sihat.

Pada 4 September 2026, darurat jerebu telah diisytiharkan di Daerah Serian, Sarawak, selepas Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi paras 500. Keadaan ini mengingatkan kita kepada krisis jerebu yang teruk pada September 1997, ketika berlakunya episod El Niño 1997/1998 yang sangat kuat, apabila darurat yang sama turut diisytiharkan di Kuching.

Episod jerebu berpanjangan yang bermula pada awal Ogos dan berlarutan selama lebih tiga bulan itu berpunca daripada kebakaran hutan dan tanah gambut yang meluas di Kalimantan dan selatan Sumatera. Kesannya bukan sahaja terhadap kesihatan awam, malah turut menjejaskan pelbagai sektor ekonomi dan sosial.

Apa yang kita alami mengingatkan kita kepada episod jerebu teruk pada 2015, yang berlaku serentak dengan El Niño 2015/2016 yang sangat kuat. Keadaan yang hampir sama turut berlaku semasa beberapa episod El Niño sebelumnya.

Bermula Jun 2026, sebahagian besar Indonesia, dari timur hingga ke barat, mengalami penurunan curahan hujan dan permulaan keadaan kering yang berpanjangan, berkaitan dengan perkembangan El Niño 2026/2027.

Keadaan ini memberikan cabaran besar kepada Indonesia. Situasi menjadi semakin serius di Kalimantan dan selatan Sumatera apabila kebakaran hutan dan tanah gambut berlaku secara meluas, dengan ratusan titik panas dikesan di kawasan berkenaan.

Persoalannya, mengapakah keadaan ini terus berulang, seolah-olah setiap episod El Niño merupakan sesuatu yang langsung tidak dijangka?

Hakikatnya, perkembangan El Niño 2026/2027 telah pun dijangka beberapa bulan lebih awal. Kemajuan penyelidikan sains iklim sejak beberapa dekad lalu telah membolehkan ahli sains memantau dan meramalkan kejadian El Niño sekurang-kurangnya enam bulan lebih awal.

Petunjuk awal mengenai kemungkinan berlakunya El Niño 2026/2027 telah pun muncul menjelang penghujung 2025.

Kemajuan penyelidikan saintifik juga telah meningkatkan pemahaman kita tentang bagaimana El Niño mempengaruhi keadaan cuaca dan iklim di Asia Tenggara.

Kita mengetahui bahawa El Niño lazimnya mengurangkan curahan hujan di sebahagian besar kawasan Benua Maritim, sekali gus mewujudkan keadaan yang menggalakkan berlakunya kemarau, kebakaran hutan dan tanah gambut serta jerebu rentas sempadan.

Namun, setiap kali episod El Niño yang kuat berlaku, kebakaran hutan dan jerebu masih terus berulang. Ini menunjukkan bahawa walaupun kita mempunyai pengetahuan saintifik dan keupayaan ramalan yang semakin maju, kita masih gagal memisahkan kejadian El Niño daripada kebakaran hutan dan tanah gambut.

Kita sebenarnya sudah mempunyai Perjanjian ASEAN Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan, yang diwujudkan khusus untuk menangani masalah serantau yang berulang ini.

Namun, masalah tersebut masih berterusan. Jadi, di manakah sebenarnya kelemahannya? Adakah perjanjian dan mekanisme sedia ada hanya kelihatan gah di atas kertas, tetapi kurang berkesan dalam pelaksanaannya?

Tiada teknologi yang mampu menghalang atau menghentikan El Niño. Fenomena ini berlaku secara semula jadi hasil interaksi antara Lautan Pasifik tropika dengan atmosfera.

Namun, ini tidak bermakna kebakaran hutan dan tanah gambut merupakan akibat El Niño yang tidak dapat dielakkan.

Jika kita benar-benar serius untuk memisahkan kedua-duanya, langkah pencegahan yang berkesan mesti dilaksanakan lebih awal, sebelum bermulanya musim kering, khususnya dalam tempoh Jun hingga Oktober apabila risiko kebakaran lazimnya meningkat di selatan Sumatera dan Kalimantan.

Keperluan untuk memutuskan hubungan berulang antara El Niño dengan kebakaran hutan ini menjadi semakin mendesak, bukan sahaja kerana kesan langsungnya, tetapi juga disebabkan peningkatan risiko akibat pemanasan global.

Kajian saintifik menunjukkan bahawa pemanasan global yang berterusan berpotensi meningkatkan kekerapan kejadian El Niño ekstrem, seperti yang berlaku pada 1997/1998 dan 2015/2016, dalam beberapa dekad akan datang.

Walaupun masih terdapat ketidakpastian mengenai magnitud perubahan tersebut, kemungkinan kejadian El Niño ekstrem menjadi lebih kerap merupakan sesuatu yang amat membimbangkan.

Selain itu, unjuran iklim menunjukkan bahawa selatan Sumatera dan Kalimantan berpotensi mengalami keadaan yang semakin kering dalam tempoh Jun hingga Oktober sekiranya pemanasan global terus berlaku tanpa dikawal.

Di bawah senario pelepasan gas rumah hijau yang tinggi, pengurangan curahan hujan yang diunjurkan dalam tempoh tersebut boleh menghampiri magnitud kekeringan yang biasanya dikaitkan dengan keadaan El Niño.

Ini menimbulkan kemungkinan yang membimbangkan bahawa keadaan kering seperti yang dialami semasa El Niño boleh menjadi semakin lazim, walaupun pada tahun-tahun tanpa kehadiran El Niño.

Sekiranya unjuran ini menjadi kenyataan, keadaan yang menggalakkan kebakaran hutan dan tanah gambut boleh berlaku dengan lebih kerap. Gabungan iklim latar belakang yang semakin panas dengan kejadian El Niño yang kuat pula berpotensi meningkatkan lagi risiko tersebut.

Atas sebab inilah usaha mengehadkan pemanasan global kepada 1.5°C berbanding paras praindustri kekal amat penting.

FENOMENA El Niño yang semakin kuat di Indonesia dijangka membawa keadaan kering berpanjangan, meningkatkan risiko kebakaran hutan serta memberi tekanan kepada sumber air dan tenaga di sebahagian besar negara itu. Foto fail AFP

Bagaimanapun, dunia kini sudah berada sangat hampir dengan ambang tersebut. Pada 2024, yang ketika itu merupakan tahun paling panas pernah direkodkan, suhu purata permukaan global mencapai kira-kira 1.55°C melebihi paras praindustri.

Walaupun peningkatan suhu melebihi 1.5°C dalam satu tahun tidak bermakna ambang suhu jangka panjang yang ditetapkan dalam Perjanjian Paris telah dilanggar secara rasmi, keadaan ini tetap memberikan amaran jelas tentang betapa pantasnya iklim dunia sedang berubah.

Menurut penilaian Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC), usaha mengehadkan pemanasan global kepada 1.5°C memerlukan pengurangan pelepasan gas rumah hijau global secara pantas, besar-besaran dan berterusan.

Pelepasan global yang kini berjumlah kira-kira 60 gigatan setara karbon dioksida (GtCO₂-eq) setahun perlu dikurangkan dengan ketara menjelang 2030, manakala pelepasan karbon dioksida sifar bersih pada peringkat global perlu dicapai sekitar pertengahan abad ini.

Mencapai pengurangan pada skala ini merupakan cabaran yang amat besar, khususnya apabila masa yang tinggal sebelum 2030 semakin suntuk. Isu-isu inilah yang menjadi agenda utama rundingan di bawah Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai PerubahanIklim (UNFCCC), termasuk Persidangan Pihak-Pihak (COP) yang diadakan setiap tahun.

Malangnya, kemajuan rundingan dari satu persidangan COP ke persidangan berikutnya sering kali amat perlahan dan mengecewakan, walaupun bukti saintifik semakin kukuh dan risiko perubahan iklim semakin meningkat.

COP31 yang berlangsung di Antalya, Türkiye, berakhir pada 22 November 2026, iaitu dua hari selepas tarikh penutupann yang dijadualkan. Walaupun rundingan telah dilanjutkan, persidangan tersebut gagal mencapai kata sepakat mengenai perjanjian iklim yang menyeluruh.

Salah satu isu utama yang menjadi pertikaian ialah ketiadaan komitmen yang jelas untuk beralih daripada penggunaan bahan api fosil, sehingga mendapat bantahan keras daripada beberapa negara.

Pengaruh negara-negara pengeluar bahan api fosil terus menjadi antara isu utama yang mencetuskan pertikaian dalam rundingan ini. Perbezaan pendirian mengenai masa depan bahan api fosil terus merumitkan usaha untuk mewujudkan hala tuju yang jelas dan boleh dipercayai ke arah mengurangkan penggunaannya.

Sebagai seorang ahli klimatologi, saya amat bimbang dengan perkembangan ini. Keadaan tersebut kelihatan semakin tidak seiring dengan tahap tindakan segera yang diperlukan berdasarkan penilaian saintifik, khususnya dapatan IPCC.

Saya sering membayangkan proses rundingan iklim antarabangsa ini seperti memutar tombol pada sebuah alat pemanas. Apabila tombol diputar ke satu arah, tahap pemanasan meningkat. Apabila diputar ke arah bertentangan, tahap pemanasan berkurangan.

Aktiviti manusia, khususnya pembakaran bahan api fosil yang berterusan, seolah-olah telah memutar tombol pemanasan bumi ke arah meningkatkan suhu selama lebih satu abad.

Oleh itu, usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau boleh diibaratkan sebagai memutar tombol ke arah bertentangan, sekali gus memperlahankan kadar pengumpulan haba tambahan dalam sistem iklim bumi.

Namun, kemajuan rundingan iklim antarabangsa yang terlalu perlahan menimbulkan satu persoalan asas: adakah kita sedang memutar tombol ke arah yang salah, atau sebenarnya kita memutarnya ke arah yang betul tetapi terlalu perlahan?

Sekiranya pelepasan gas rumah hijau global kekal tinggi, bumi akan terus mengalami pemanasan, sekali gus meningkatkan risiko kejadian cuaca dan iklim ekstrem.

Kesannya akan dirasai di seluruh dunia, khususnya di negara-negara membangun, negara-negara kepulauan kecil dan komuniti yang mempunyai sumber terhad untuk menyesuaikan diri dengan perubahan iklim.

Bagi Asia Tenggara, implikasinya amat serius. Pemanasan global yang berterusan berpotensi meningkatkan kemungkinan kejadian El Niño ekstrem dan memperhebat keadaan kering semasa musim kemarau di kawasan rentan di selatan Sumatera dan Kalimantan.

Keadaan ini boleh mewujudkan persekitaran yang semakin menggalakkan kebakaran hutan dan tanah gambut, sekali gus meningkatkan kemungkinan episod jerebu rentas sempadan yang teruk berlaku dengan lebih kerap dan menjadi semakin sukar dikawal.

Inilah risiko yang mungkin dihadapi rantau kita dalam beberapa dekad akan datang sekiranya dunia terus memutar tombol ke arah yang salah.

El Niño itu sendiri tidak dapat dicegah. Namun, kebakaran hutan dan tanah gambut serta jerebu rentas sempadan yang berpunca daripadanya bukanlah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.

Kita sebenarnya sudah mempunyai pengetahuan saintifik, keupayaan ramalan dan perjanjian kerjasama serantau yang diperlukan untuk menjangka risiko tersebut dan mengambil langkah pencegahan.

Apa yang diperlukan ialah keazaman politik, penguatkuasaan yang berkesan dan kerjasama serantau berterusan bagi menterjemahkan pengetahuan tersebut kepada tindakan yang benar-benar bermakna.

Akhirnya, usaha mencegah satu lagi bencana jerebu memerlukan tindakan tegas pada peringkat serantau dan global. Pada peringkat serantau, kita mesti memastikan bahawa kejadian El Niño tidak lagi secara automatik membawa kepada kebakaran hutan dan jerebu rentas sempadan.

Pada peringkat global pula, kita mesti mempercepat usaha mengurangkan pelepasan gas rumah hijau dan mengehadkan pemanasan bumi yang berterusan.

Dunia mesti mula memutar tombol ke arah yang betul sebelum kesan perubahan iklim menjadi semakin sukar untuk dipulihkan.

  • Profesor Emeritus Dr Fredolin Tangang ialah Profesor Emeritus dalam bidang klimatologi dan perubahan iklim di Universiti Kebangsaan Malaysia, Felo Akademi Sains Malaysia dan kini bertugas di Universiti Brunei Darussalam. Beliau merupakan bekas Naib Pengerusi Kumpulan Kerja I Panel Antara Kerajaan mengenai Perubahan Iklim (IPCC).

Eksklusif: Rakyat bukan bidak percaturan

DALAM kesibukan parti-parti politik menyusun strategi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13, pelbagai percaturan mengenai kerusi, calon, penyandang dan