BINTULU: Sejumlah 27 laluan penerbangan antarabangsa baharu akan diperkenalkan sepanjang tahun ini, dengan lebih 100 penerbangan dijadualkan ke destinasi utama di seluruh Malaysia.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Seri Tiong King Sing berkata, daripada jumlah tersebut, 12 laluan sudah mula beroperasi.
“Sebanyak 16 laluan merupakan penerbangan berjadual, manakala 11 lagi adalah penerbangan sewaan khas, dan kesemuanya merupakan laluan terus ke dan dari Malaysia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau.
Sebahagian besar laluan baharu itu melibatkan destinasi di China, dengan lapan penerbangan berjadual dan 11 penerbangan sewa khas.
Setakat ini, 11 laluan telah mula beroperasi, termasuk penerbangan terus dari Wenzhou, China ke Kuala Lumpur yang akan bermula pada 30 Jun, menandakan penerbangan sulung China United Airlines ke Malaysia.
Menurut Tiong, laluan baharu tersebut turut melibatkan bandar-bandar bertaraf kedua dan ketiga di China seperti Wenzhou, Tunxi dan Shijiazhuang.
“Ini sebahagian daripada strategi Tahun Melawat Malaysia 2026 (VM2026) yang memberi tumpuan kepada penyambungan terus ke lebih banyak bandar berskala sederhana di China bagi menarik lebih ramai pelancong,” katanya.
Dua laluan telah dilancarkan pada Februari lalu, iaitu penerbangan Xi’an-Kuala Lumpur dan Urumqi-Kuala Lumpur.
Laluan-laluan itu dijangka memperkukuh inisiatif pelancongan mesra Muslim serta menjadikan Malaysia sebagai hab transit utama bagi jemaah haji dan umrah.
Tambah Ahli Parlimen Bintulu itu, sehingga hujung Mac, sebanyak 12 laluan baharu telah mula beroperasi, menyumbang lebih 100 penerbangan ke Malaysia.
“Sebanyak 11 laluan melibatkan sambungan antara China dan Malaysia, termasuk empat penerbangan sewa khas yang diperkenalkan sempena perayaan Tahun Baharu Cina (TBC),” ujarnya.
Laluan tersebut menawarkan sambungan terus ke Tawau, Kota Kinabalu, Kuching dan Langkawi, dengan kapasiti maksimum mingguan sebanyak 3,024 penumpang semasa kemuncak perayaan TBC.
Antara laluan berjadual lain yang telah beroperasi sejak awal tahun ini termasuk Xi’an-Kuala Lumpur oleh China Eastern Airlines dan Urumqi-Kuala Lumpur oleh China Southern Airlines.
Oleh Carolyne Utih