
PUTRAJAYA: Industri animasi Malaysia mencatat sejarah baharu apabila siri animasi kebanggaan negara Mechamato berjaya menembusi pasaran hiburan terbesar dunia iaitu China, kata Ketua Pegawai Eksekutif MONSTA Nizam Abd Razak.
Nizam menerusi kenyataan hari ini berkata 26 episod siri animasi itu bakal ditayangkan menerusi platform penstriman terkemuka China Youku.
Beliau berkata pencapaian itu menjadi satu lagi detik bersejarah buat MONSTA, sekali gus menandakan simbol kemajuan industri animasi Malaysia dalam menembusi pasaran global.
“Kami amat teruja kerana Mechamato bakal menemui penonton di China melalui kerjasama strategik bersama Youku.
“Kerjasama ini bukan sahaja merangkumi penyiaran tetapi turut membuka peluang luas dalam aspek pelesenan dan perdagangan. Ini satu langkah besar untuk melonjakkan jenama kami ke peringkat lebih tinggi, dan MONSTA percaya hubungan erat dengan rakan kongsi di China mampu membuka laluan baharu untuk pengukuhan pasaran di rantau Asia,” katanya.
Nizam berkata China adalah pasaran hiburan kedua terbesar di dunia yang mengalami pertumbuhan pesat dalam industri animasi terutamanya kategori 3D.
Beliau berkata Mechamato dilihat berpotensi besar untuk menarik perhatian jutaan penonton di China menerusi gabungan elemen teknologi, jalan cerita yang universal serta pelbagai watak menarik yang mampu merentasi batas budaya.
“Di sebalik kejayaan Mechamato, terletaknya peranan penting Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) iaitu agensi digital utama negara di bawah seliaan Kementerian Digital. MDEC giat memacu pertumbuhan industri animasi negara ke peringkat global,” katanya.
Pegawai Eksekutif MDEC Anuar Fariz Fadzil berkata animasi Mechamato menjadi contoh terbaik yang mencerminkan keupayaan Malaysia dalam menghasilkan kandungan digital bertaraf dunia yang mempunyai daya tarikan global.
“Disokong oleh MDEC melalui inisiatif geran eksport kandungan kami, kejayaan MONSTA sebagai syarikat berstatus Malaysia Digital menonjolkan kekuatan dan potensi industri kreatif kita. Kami berbangga menyokong bakat tempatan seperti Mechamato dan terus komited meletakkan Malaysia sebagai pusat kandungan digital serta teknologi kreatif di peringkat serantau dan global,” katanya.
Menerusi kenyataan sama, syarikat animasi tempatan berkenaan optimis dengan pencapaian membanggakan itu, sekali gus menunjukkan Mechamato bukan sekadar membuktikan kebolehan animasi tempatan, tetapi mampu mengangkat martabat bakat Asia Tenggara ke pentas dunia.
Justeru, MONSTA akan terus melangkau sempadan kreativiti dan menetapkan penanda aras baharu bagi animasi Malaysia dalam membuktikan bahawa bakat dari rantau Asia Tenggara mampu bersinar serta bersaing secara kompetitif di peringkat global. – Bernama