SIBU: Seramai 233 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dari empat sekolah menengah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek menerima hadiah insentif berjumlah RM85,900.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng berkata, insentif di bawah Geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) itu mula diberikan sejak 2021.
“Saya memberikan insentif kepada pelajar cemerlang dalam pelajaran sejak menjadi wakil rakyat di kawasan DUN Bukit Assek ini tiga tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Insentif Kecemerlangan SPM 2023 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist Sibu, hari ini.
Chieng memberitahu, mereka yang mencapai 5A akan menerima RM100, dan secara beransur-ansur jumlah insentif akan meningkat sebanyak RM50 bagi setiap tambahan A.
“Saya berharap untuk SPM 2024, lebih ramai pelajar cemerlang kerana saya tidak kisah untuk memberikan insentif pengajian yang lebih besar kerana ia adalah pengiktirafan atas kerja keras pelajar dan guru,” ujarnya.
Terdahulu, pengetua sekolah, Phillip Ling memberitahu, seramai 376 pelajar sekolah itu menduduki SPM tahun lalu.
Menurutnya, dari jumlah itu, sekolah memperolehi CGPA 3.63 dengan kadar kelulusan 94.32 peratus.
“Seramai 128 pelajar kami memperoleh sekurang-kurangnya 5A. Enam pelajar kami tersenarai untuk menerima Anugerah Kecemerlangan Khas SPM 2023 di Kuching pada Isnin,” ujarnya lagi.
Oleh Akun Giman