
PETRA JAYA: Seramai 23 belia dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban berpeluang menimba pengalaman berharga menerusi lawatan rasmi ke Bangunan DUN Sarawak bagi menyaksikan sendiri perjalanan persidangan hari kelapan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima DUN Sarawak ke-19, hari ini.
Program tersebut dilihat sebagai satu inisiatif penting dalam memperkasakan golongan muda dengan memberi pendedahan secara langsung mengenai sistem pentadbiran kerajaan negeri serta fungsi institusi legislatif dalam menentukan hala tuju pembangunan Sarawak.
Rombongan berkenaan diketuai oleh Mixson Blaki yang menyifatkan lawatan itu sebagai platform terbaik untuk membuka minda belia mengenai peranan sebenar wakil rakyat dan proses membuat dasar di peringkat negeri.
Menurut beliau, penglibatan belia dalam program seumpama itu mampu melahirkan generasi muda yang lebih cakna terhadap isu semasa, memahami sistem demokrasi serta bersedia memainkan peranan dalam pembangunan masyarakat pada masa depan.

Sepanjang lawatan tersebut, para peserta turut berpeluang menyaksikan sendiri perjalanan persidangan DUN secara langsung termasuk sesi perbahasan dan pembentangan usul yang melibatkan kepentingan rakyat serta pembangunan negeri.
Selain itu, mereka juga diberi peluang berinteraksi dengan beberapa Menteri Kabinet Sarawak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), sekali gus memberi pengalaman baharu kepada peserta mengenai kepimpinan dan pentadbiran kerajaan.
Rombongan tersebut turut mengadakan kunjungan hormat kepada Timbalan Premier Sarawak merangkap ADUN Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas yang menzahirkan penghargaan terhadap usaha memperkukuh penglibatan belia dalam memahami institusi demokrasi negeri.
Beliau turut berharap lebih ramai golongan muda tampil aktif menyertai program berbentuk pendidikan sivik dan kepimpinan agar dapat melahirkan generasi pelapis yang berwibawa serta berdaya saing dalam memacu kemajuan Sarawak.
Lawatan tersebut turut diiringi oleh Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Roseline Mapong serta Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak, Datu Cassidy Morris yang bersama-sama memberi sokongan terhadap usaha pembangunan modal insan dalam kalangan belia luar bandar.
Oleh Adi Safarman