Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Pertanian pintar buka peluang pelajar luar bandar kuasai teknologi moden
  • PENDIDIKAN

Pertanian pintar buka peluang pelajar luar bandar kuasai teknologi moden

Utusan Sarawak 5 hours ago
KENNEDY Chukpai Ugon menyempurnakan gimik pelancaran Program Pertanian Pintar Inisiatif Perintis Sarawak Energy di SMK Bakun, Belaga hari ini.

BELAGA: Di kawasan pedalaman Sungai Asap, sebuah rumah hijau moden yang dibangunkan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bakun kini mencerminkan perubahan baharu dalam landskap pendidikan luar bandar.

Melalui struktur lutsinar itu, pelajar beralih daripada pembelajaran teori semata-mata kepada pendedahan praktikal dalam pertanian digital, sistem pengairan pintar dan teknologi Internet of Things (IoT) yang sebelum ini lebih dominan di kawasan bandar.

Melalui Program Pertanian Pintar Inisiatif Perintis Sarawak Energy, pelajar di SMK Bakun dan SMK Belaga kini didedahkan secara langsung kepada penggunaan teknologi moden dalam sektor pertanian.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif SEB Power, Ir. Bunyak Lunyong, program tersebut bukan sekadar projek pertanian sekolah biasa, tetapi satu usaha membina generasi muda luar bandar yang celik teknologi dan bersedia menghadapi ekonomi masa depan.

“Pelajar juga memperoleh pendedahan secara langsung kepada pertanian pintar, termasuk pemantauan tanaman berasaskan data, pengairan cekap dan pertanian pintar iklim.

“Inisiatif ini membantu pelajar memahami bahawa pertanian masa kini telah berubah kepada cara yang inovatif dengan penggunaan sistem digital dan berorientasikan masa depan,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Program Pertanian Pintar Inisiatif Perintis Sarawak Energy di SMK Bakun hari ini.

KENNEDY Chukpai Ugon dan Ir. Bunyak Lunyong melihat sistem pertanian pintar berasaskan teknologi moden yang diperkenalkan kepada pelajar sempena Program Pertanian Pintar Inisiatif Perintis Sarawak Energy di SMK Bakun, Belaga.

Menurut beliau, pendekatan tersebut memberi peluang kepada pelajar memahami bahawa sektor pertanian moden bukan lagi bergantung sepenuhnya kepada tenaga fizikal semata-mata, sebaliknya turut melibatkan penggunaan data, automasi dan teknologi pintar.

Malah, pelajar kini dapat melihat sendiri bagaimana sistem pengairan boleh dikawal secara lebih cekap, tanaman dipantau menggunakan data digital dan proses pertanian dijalankan secara lebih sistematik.

Dalam suasana dunia yang semakin dipacu teknologi, pendedahan awal seperti itu dianggap penting terutama bagi pelajar luar bandar agar mereka tidak tercicir daripada arus transformasi digital.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon, inisiatif tersebut juga membuka lembaran baharu kepada pembangunan komuniti luar bandar di Sungai Asap dan Belaga.

Menurut beliau, usaha memperkenalkan Pertanian Pintar di sekolah menjadi asas kepada perancangan lebih besar menerusi penubuhan Pusat Transformasi Agro Pintar (SATC) di kawasan Sungai Asap.

“Pusat Transformasi Agro Pintar atau singkatannya SATC Sungai Asap merupakan sebuah inisiatif pembangunan pertanian pintar berasaskan komuniti yang bertujuan memperkasakan masyarakat luar bandar melalui teknologi, latihan kemahiran dan pembangunan ekonomi mampan,” katanya.

KENNEDY Chukpai Ugon bersama Ir. Bunyak Lunyong, guru dan pelajar bergambar selepas Majlis Pelancaran Program Pertanian Pintar Inisiatif Perintis Sarawak Energy di SMK Bakun, Belaga hari ini.

Beliau berkata, SATC akan menggabungkan latihan teknologi pertanian, sistem hidroponik berasaskan IoT, rumah hijau komuniti serta rangkaian pemasaran tersusun yang melibatkan penyertaan rumah panjang di kawasan Sungai Asap.

Apa yang lebih menarik, pendekatan pengeluaran berpusatkan pelbagai lokasi yang dirancang bakal melibatkan 15 rumah panjang dengan SATC bertindak sebagai pusat penyelarasan pelaksanaan projek secara komersial.

Bagi warga sekolah pula, program tersebut memberi nafas baharu kepada kaedah pembelajaran kerana pelajar kini bukan sahaja belajar untuk lulus peperiksaan, tetapi turut didedahkan dengan kemahiran sebenar yang relevan dengan dunia pekerjaan masa hadapan.

Melalui penyediaan rumah hijau, sistem pertanian menegak, modul IoT dan latihan khas, pelajar luar bandar kini berpeluang mempelajari teknologi yang sebelum ini sukar diakses di kawasan pedalaman.

Dalam masa sama, pembangunan Hab Digital Sungai Asap (SADV) yang bakal menyediakan internet berkelajuan tinggi dijangka mempercepatkan lagi penggunaan teknologi seperti automasi, kecerdasan buatan (AI) dan dron pertanian di kawasan luar bandar.

Gabungan pendidikan, teknologi dan pembangunan komuniti itu dilihat mampu mengubah persepsi bahawa pertanian adalah sektor tradisional semata-mata.

Sebaliknya, di Belaga khususnya Sungai Asap, pertanian kini mula dilihat sebagai bidang moden yang mempunyai potensi besar untuk diterokai generasi muda luar bandar.

Oleh Carolyne Utih

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: 23 belia DUN Bukit Saban timba pengalaman saksi persidangan DUN Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.