
KUCHING: Keadaan banjir di Sarawak menunjukkan sedikit perkembangan positif apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berkurang kepada 4,486 orang daripada 1,445 keluarga setakat 12.00 tengah hari.
Angka ini mencatatkan penurunan berbanding 4,705 mangsa daripada 1,519 keluarga yang direkodkan pada awal pagi tadi.
Pengurangan jumlah mangsa ini turut disertai dengan penutupan beberapa PPS, menjadikan hanya 22 PPS masih beroperasi berbanding 24 sebelum ini, manakala jumlah PPS yang telah ditutup meningkat kepada 61.
Dalam laporan rasmi yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), Dewan Serbaguna Peliau telah ditutup semalam pada 2.00 petang, manakala Dewan SMK Merbau Miri pula ditutup 8.00 pagi tadi.
Bahagian Bintulu masih mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 1,881 orang, meningkat sedikit daripada 1,880 sebelum ini.
Sibu kekal dengan 1,186 mangsa, manakala Mukah juga tidak mencatatkan perubahan dengan 614 mangsa. Namun, jumlah mangsa di Miri menurun ketara kepada 741 orang berbanding 961 sebelum ini.
Di bahagian lain, jumlah mangsa kekal stabil dengan Sarikei masih menempatkan 13 orang dan Samarahan 51 orang.
Oleh Amanda L.