BELADIN: Seramai 22 sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas tiga buah rumah yang didiami mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Hulu Beladin, malam kelmarin.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar 8.40 malam itu, yang melibatkan tiga rumah musnah 100 peratus.
Ketua Balai Bomba Saratok, PPgB Nazry Mohamat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kejadian kebakaran terbabit kira-kira jam 8.52 malam.
“Sembilan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok diketuai PBK II Yusuf Tamin dan bantuan lapan anggota BBP Betong diketuai PBK II Jusmandi Jamaie bergegas ke lokasi kejadian sejurus panggilan diterima.
“Setibanya bomba di lokasi mendapati kebakaran telah memusnahkan sepenuhnya tiga unit kediaman dengan semua rumah jenis tidak kekal,” katanya dalam satu kenyataan kepada pemberita semalam.
Nazry berkata, memberitahu rumah pertama satu tingkat dihuni seramai dua orang, rumah kedua berstruktur dua tingkat dihuni seramai 12 orang manakala rumah ketiga pula seramai lapan orang.
“Kebakaran tersebut telah bermula dari rumah pertama yang kemudiannya merebak ke rumah bersebelahan.
“Menurut saksi, semua penghuni di rumah pertama tersebut ada di rumah semasa kejadian berlaku,” ujarnya.
Mengulas lanjut mengenai penghuni tiga rumah terbabit yang masing-masing musnah 100 peratus, katanya, rumah pertama didiami dua penghuni, seorang wanita dewasa dan seorang kanak-kanak perempuan.
Rumah kedua pula didiami 12 penghuni terdiri lima lelaki dewasa, tiga wanita dewasa, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.
Sementara itu, rumah ketiga dihuni lapan orang iaitu tiga lelaki dewasa, empat wanita dewasa dan seorang kanak-kanak lelaki.
Nazry menjelaskan semasa operasi pemadaman dijalankan pihak bomba mengalami kesukaran untuk mendapatkan air dari pili bomba.
“Selain itu, jarak balai ke lokasi kejadian adalah sejauh 53 kilometer dan mengambil masa lebih kurang 1 jam 16 minit untuk tiba di tempat kejadian.
“Pihak bomba perlu menggunakan perkhidmatan feri Pusa menuju ke Beladin selain menghadapi kesukaran untuk memasuki kawasan Kampung Hulu Beladin kerana laluan terlalu sempit,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, kebakaran tersebut berjaya dikawal pada 10.28 malam.
Tambahnya, kebakaran itu tidak melibatkan sebarang kecederaan.
“Operasi pemadaman tamat pada 1.30 pagi dan punca kebakaran masih dalam siasatan,” ujarnya.
Agensi lain yang terlibat dalam operasi itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Oleh Adi Safarman