40 tahun DUBS sebagai rakan pembangunan ekonomi Sarawak

Facebook
WhatsApp
GIMIK memotong kek pulut kuning sebagai simbolik kesyukuran sempena 40 tahun penubuhan Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS).

KUCHING, 4 Oktober: Empat dekad lalu, Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) memulakan perjalanan bersama kerajaan ketika Sarawak sedang beralih daripada ekonomi yang bergantung kepada sektor pertanian kepada ekonomi yang lebih pelbagai berasaskan perindustrian.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, berkata DUBS ditubuhkan pada 1986, ketika Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang ketika itu Ketua Menteri Sarawak mahu mengubah struktur ekonomi supaya tidak lagi bergantung kepada sektor pertanian semata-mata.

Beliau berkata, hasrat itu diteruskan menerusi proses kepelbagaian ekonomi dan perindustrian yang kemudian menjadi antara asas penting pembangunan Sarawak.

“Kalau kita imbau kembali, DUBS telah ditubuhkan pada 1986. Tahun itu adalah tahun di mana ekonomi kita berkembang dan arwah Tun Taib selaku Ketua Menteri telah menyasarkan supaya ekonomi Sarawak tidak bergantung kepada pertanian.

“Tetapi hendaklah dipelbagaikan dengan proses perindustrian,” katanya ketika berucap pada Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-40 DUBS di Kuching.

SUASANA Makan Malam Gala Ulang Tahun Ke-40 Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) di sebuah hotel di Kuching.

Abang Johari berkata, pada 1987, Allahyarham Tun Taib menubuhkan kementerian baharu dalam pentadbirannya, iaitu Kementerian Perindustrian, bagi meneruskan agenda perindustrian Sarawak.

Katanya, beliau ketika itu diberi kepercayaan oleh Allahyarham Tun Taib untuk menjadi menteri pertama kementerian berkenaan dan meneruskan usaha perindustrian yang dirancang.

“Dan saya telah diberi keyakinan oleh arwah Tun Taib untuk wujud dan seterusnya menjadi Menteri pertama untuk meneruskan industrialisasi Sarawak,” katanya.

Beliau berkata, selepas menerima tanggungjawab berkenaan, beliau mula bekerjasama dengan DUBS yang ketika itu masih baharu ditubuhkan.

“Daripada hari itu, apabila saya diberi tugas, diamanahkan oleh arwah Ketua Menteri, kita perlu mula bekerja bersama dengan ‘newborn baby’ yang dipanggil DUBS. Begitulah kita memulakan perjalanan 40 tahun lalu,” katanya.

Menurut Abang Johari, antara langkah awal dalam proses perindustrian Sarawak ialah pembangunan kawasan perindustrian Sejingkat dan Samajaya, selain usaha menarik pelaburan asing ke Sarawak.

Katanya, kemasukan syarikat seperti Toko Electronic dan Taiyo Yuden menjadi antara perkembangan penting dalam usaha mewujudkan asas perindustrian yang lebih kukuh.

Beliau berkata, pembangunan industri juga tidak terhad kepada sektor pembuatan, malah turut melibatkan usaha membawa hasil sumber tempatan ke peringkat hiliran.

“Kayu balak kita juga tidak lagi hanya dieksport sebagai kayu balak. Kita mula memprosesnya. STIDC kita wujudkan dan Tanjung Manis kita bangunkan,” katanya.

Abang Johari berkata, perkembangan tersebut menunjukkan perubahan pendekatan ekonomi Sarawak daripada sekadar menghasilkan dan mengeksport bahan mentah kepada usaha membangunkan industri hiliran yang mempunyai nilai ekonomi lebih tinggi.

Menurutnya, perjalanan itu turut membuka ruang kepada usahawan tempatan, termasuk anggota DUBS, untuk mengambil bahagian dalam sektor ekonomi yang semakin berkembang.

Beliau berkata, selepas 40 tahun, landskap ekonomi Sarawak kini sekali lagi berada pada fasa perubahan dengan munculnya bidang baharu seperti tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, semikonduktor, pembuatan termaju, pertanian berteknologi tinggi dan ekonomi digital.

Katanya, perubahan itu memerlukan usahawan Bumiputera, termasuk anggota DUBS, untuk meningkatkan keupayaan dan meneroka bidang pembuatan berteknologi tinggi bagi mengambil peluang daripada perkembangan ekonomi baharu.

“DUBS mesti melatih ahli perniagaannya ke arah pembuatan termaju. Ini adalah era baharu, kalau tidak kita rugi,” katanya.

Abang Johari berkata, perkembangan industri semikonduktor di Sarawak, termasuk dalam bidang reka bentuk cip, turut membuka ruang kepada usahawan tempatan untuk menyertai rantaian nilai industri berteknologi tinggi.

Katanya, Sarawak kini mempunyai keupayaan dalam reka bentuk cip semikonduktor, manakala hasil reka bentuk berkenaan sudah digunakan oleh syarikat dari China bagi meter elektrik.

Beliau berkata, perkembangan industri berteknologi tinggi itu mampu mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan bergaji lebih baik, selain memberi kesan limpahan kepada perniagaan tempatan.

“Kalau ini berlaku, bermakna kita dapat mewujudkan pekerjaan yang bergaji tinggi dan sudah tentu kesan limpahan kepada perniagaan akan lebih banyak,” katanya.

Dalam pada itu, Abang Johari berkata, pembangunan tenaga dan infrastruktur baharu turut membuka peluang kepada DUBS untuk meneroka bidang perniagaan yang sebelum ini belum diceburi.

Beliau berkata, pembangunan Tanjung Embang sebagai kawasan pelabuhan dan hab rendah karbon berpotensi mewujudkan ruang ekonomi baharu yang boleh dimanfaatkan usahawan DUBS.

“Ini di Tanjung Embang akan menjadi satu kawasan yang mempunyai masa depan yang cerah dan akhirnya DUBS boleh melihat potensi-potensi ini, jadi kita boleh membangunkan perniagaan baharu untuk orang DUBS,” katanya.

Beliau berkata, DUBS perlu lebih proaktif meneroka peluang berkenaan dengan memahami teknologi, mengenal pasti keperluan industri dan meletakkan perniagaan dalam pasaran yang sedang berkembang.

“Kamu perlu meneroka, perlu tahu teknologi, perlu melihat apa yang boleh ditawarkan dan meletakkan diri dalam pasaran yang sedang berkembang,” katanya.

Abang Johari berkata, pengalaman DUBS sepanjang 40 tahun lalu perlu dijadikan asas untuk meneruskan peranannya sebagai antara rakan pembangunan ekonomi Sarawak, khususnya ketika wilayah itu memasuki fasa ekonomi yang lebih berasaskan teknologi, inovasi dan industri bernilai tinggi.

Katanya, jika dahulu DUBS berkembang bersama Sarawak ketika proses perindustrian baru bermula, organisasi itu kini perlu bersedia bergerak seiring perubahan ekonomi dengan meneroka bidang baharu dan membangunkan perniagaan yang mampu bersaing dalam pasaran yang lebih luas.

Oleh Afiq Sallehi