Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • JENAYAH
  • 21 ahli kongsi gelap ditahan dalam Op Pusak Merah di Sarawak
  • JENAYAH

21 ahli kongsi gelap ditahan dalam Op Pusak Merah di Sarawak

Utusan Sarawak 5 hours ago
DITAHAN… Seramai 21 lelaki tempatan yang dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap terlibat dalam jenayah kekerasan di seluruh Sarawak telah ditahan menerusi satu operasi khas dikenali sebagai Op Pusak Merah. Foto IPD Kuching

KUCHING: Seramai 21 lelaki tempatan yang dipercayai ahli kumpulan kongsi gelap terlibat dalam jenayah kekerasan di seluruh Sarawak telah ditahan menerusi satu operasi khas dikenali sebagai Op Pusak Merah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk M. Kumar Muthuvela berkata operasi itu dilancarkan pada 15 April hasil kerjasama antara unit Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak.

Beliau berkata operasi tersebut menyasarkan satu kumpulan yang aktif terlibat dalam jenayah kekerasan di Kota Samarahan, Kuching, Simunjan dan Padawan sejak 2024.

“Polis telah menjalankan serbuan bersepadu di beberapa lokasi dan berjaya menahan 21 lelaki tempatan berumur antara 19 hingga 44 tahun.

Semakan awal mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk rusuhan, menyebabkan kecederaan parah, samun, khianat serta kesalahan berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan.

Kumar menambah kesemua suspek telah direman selama enam hari bermula 15 April hingga 20 April di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membantu siasatan.

Beliau berkata operasi itu merupakan usaha proaktif Jabatan Siasatan Jenayah untuk melumpuhkan sindiket yang dipercayai terlibat dalam kegiatan peras ugut, mendatangkan kecederaan serius serta rusuhan menggunakan senjata yang telah menimbulkan ketakutan dalam kalangan penduduk tempatan.

“Usaha sedang giat dijalankan untuk mengesan dan menahan beberapa individu lain yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan ini yang masih bebas,” katanya.

Siasatan dijalankan di bawah beberapa peruntukan Kanun Keseksaan termasuk Seksyen 148 kerana merusuh dengan senjata, Seksyen 326 kerana menyebabkan kecederaan parah dengan senjata, Seksyen 384 kerana peras ugut, Seksyen 394 kerana menyebabkan kecederaan semasa samun, Seksyen 427 kerana khianat, dan Seksyen 436 kerana khianat menggunakan api atau bahan letupan.

Kumar menegaskan polis akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam kegiatan gengsterisme dan jenayah kekerasan bagi memastikan keselamatan serta kesejahteraan awam.

Beliau turut menggesa orang ramai supaya terus bekerjasama dengan pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat mengenai kegiatan jenayah bagi membantu membanteras jenayah di negeri ini.

Oleh Connie Chieng

Tags: Jenayah

Continue Reading

Previous: 17 motosikal diperiksa, lima disita dalam operasi di Samarahan

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.