KUCHING: Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi menyeru rakyat Sarawak agar terus bersatu dan berusaha membina masa depan yang lebih gemilang untuk negeri ini.
Menurutnya, tahun baru ini bukan sekadar peralihan masa, tetapi merupakan peluang besar bagi rakyat untuk mencorakkan masa depan Sarawak yang lebih berani dan cerah.
“Sepanjang 2024, kita menyaksikan pelbagai cabaran dan kejayaan yang menguji kekuatan negeri ini. Namun, semangat perpaduan dan ketabahan rakyat Sarawak terbukti mampu mengatasi segala rintangan.
“Kita telah menunjukkan bahawa tiada halangan yang terlalu besar untuk kita atasi.
“Sarawak bukan sekadar sebuah negeri, tetapi sebuah kuasa yang memacu kemajuan dan perubahan, bukan sahaja di Malaysia tetapi di peringkat global,” katanya dalam Perutusan Tahun Baru 2025.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan komitmen kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah pimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk memastikan pembangunan yang inklusif.
Beliau berkata pihaknya berjanji bahawa setiap lapisan masyarakat akan terus didengari dan dilibatkan dalam usaha pembangunan negeri.
“2025 adalah tahun transformasi. Kita akan memastikan tiada rakyat Sarawak yang ketinggalan dalam arus pembangunan,” katanya.
Sementara itu, Julaihi turut memberi penghormatan kepada golongan belia yang dianggap sebagai nadi masa depan Sarawak dan menekankan kepentingan pembangunan yang lestari untuk generasi akan datang.
“Marilah kita bersatu dengan tekad baharu untuk menjadikan tahun ini bukan sahaja tahun perayaan, tetapi tahun tindakan, kemajuan, dan kejayaan bersama,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat untuk menjadikan 2025 sebagai tahun di mana Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya sebagai negeri yang maju, makmur, dan berdaya tahan.
“Bersama-sama, kita akan bangkit ke tahap yang lebih tinggi dan melakar masa depan yang lebih gemilang, Selamat Tahun Baru 2025, Sarawak!” katanya.