2,000 anak ayam diserah kepada 23 penerima, perkasa ekonomi penduduk Bukit Saban

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SPAOH: Sebanyak 2,000 ekor anak ayam diserahkan kepada 23 penerima menerusi Program Peningkatan Ekonomi bagi Penternakan Anak Ayam DUN Bukit Saban di Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban, hari ini.

Program yang dilaksanakan atas inisiatif Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas itu bertujuan membantu penduduk menjana pendapatan tambahan melalui perusahaan ternakan ayam secara kecil-kecilan, sekali gus menggalakkan penglibatan komuniti dalam aktiviti ekonomi yang berpotensi meningkatkan pendapatan isi rumah.

Inisiatif tersebut merupakan langkah proaktif bagi merangsang pertumbuhan ekonomi di peringkat akar umbi. Melalui bantuan itu, penduduk setempat diberi peluang untuk berdikari serta membina sumber pendapatan yang lebih mampan.

Menurut Uggah, bantuan yang disalurkan bukan sekadar menyediakan modal permulaan, malah menjadi pemangkin kepada penerima untuk membina sumber pendapatan secara berperingkat menerusi usaha yang berterusan.

“Saya berharap setiap penerima memanfaatkan bantuan ini dengan sebaik-baiknya. Jika diusahakan secara tekun dan konsisten, perusahaan yang bermula secara kecil-kecilan ini mampu berkembang menjadi sumber pendapatan yang memberi manfaat kepada keluarga,” katanya dalam satu kenyataan.

Uggah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban berkata, kerajaan akan terus memperluaskan pelaksanaan program yang memberi impak langsung kepada rakyat, khususnya inisiatif yang mampu meningkatkan keupayaan masyarakat luar bandar menjana ekonomi isi rumah melalui usaha sendiri.

“Apa yang penting ialah kesungguhan untuk mengembangkan bantuan yang diterima hari ini. Saya yakin dengan komitmen dan usaha yang berterusan, lebih ramai penduduk mampu meningkatkan taraf hidup menerusi perusahaan yang diusahakan sendiri,” katanya.

Sejak 2023, inisiatif bantuan anak ayam di DUN Bukit Saban telah memberi manfaat kepada 1,200 penerima melalui agihan hampir 60,000 ekor anak ayam yang dilaksanakan oleh Pusat Khidmat ADUN N.37 Bukit Saban dengan sokongan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA).

Pelaksanaan program secara berterusan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperluaskan peluang ekonomi kepada masyarakat luar bandar menerusi pendekatan yang praktikal dan mudah dilaksanakan.

Selain membantu menambah pendapatan isi rumah, inisiatif tersebut turut menggalakkan lebih ramai penduduk menceburi perusahaan ternakan ayam sebagai aktiviti ekonomi yang berpotensi berkembang serta memberikan manfaat jangka panjang kepada komuniti.

Oleh Adi Safarman