LIMBANG: Sejumlah 20 projek pembangunan di bawah Projek Tranformasi Luar Bandar (RTP) dikenal pasti untuk dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Danau tahun depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang berkata projek pembangunan ini menunjukkan usaha berterusan kerajaan membangun kawasan pedalaman, sekali gus mengurangkan jurang ekonomi antara bandar dan luar bandar.
Jelasnya, ia melibatkan projek pembinaan dewan, gelanggang futsal, laluan perhubungan, jalan pertanian, kerja menaik taraf jalan, projek kecil dan sebagainya.
“Di kawasan Batu Danau memang telah ada projek RTP. Kita akan teruskan projek jalan simen, pembinaan gelanggang sukan dewan, jalan pertanian dan sebagainya.
“Jadi 20 lebih projek dalam kawasan Batu Danau ini akan dilaksanakan tahun depan,” katanya kepada media ketika ditemui pada perlawanan akhir Piala Limbang anjuran Persatuan Bola Sepak Bahagian Limbang (LFA) di Kompleks Sukan Limbang semalam.
Turut sama ialah Timbalan Presiden LFA Frederick Lalung, Naib Presiden LFA Bulhaji Wahab serta ahli jawatankuasa tertinggi LFA.
Paulus berkata terdapat juga projek yang tergendala disebabkan cuaca dan akan terus dilaksanakan tahun depan.
Katanya pelaksanaan projek-projek rakyat itu adalah sebagai usaha meningkat kesejahteraan rakyat di kawasan luar bandar.
Oleh ADENG EDRUS