PULAU BRUIT: Seramai 20 orang peserta dari Kampung Betanak, Penipah, Tekajong dan Bruit telah menyertai bengkel program pemprosesan produk mi kuning bertempat di Dewan Masyarakat Kampung Bruit.
Program tersebut merupakan anjuran Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (APPGM-SDG) di kawasan Parlimen Tanjong Manis ini merupakan Siri ke-3 telah diadakan.
Hadir bagi merasmikan majlis penutupan program pada petang semalam ialah Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abd Wahab.
Dalam ucapannya, Yusuf menyeru peserta agar menggunakan ilmu yang diperoleh melalui pelbagai kursus yang dilaksanakan sebagai satu sumber pendapatan selain dapat meningkatkan ekonomi rumahtangga malah sosioekonomi setempat.
“Ia selari dengan objektif utama program diadakan iaitu matlamat pembangunan lestari agar para peserta dapat berjaya dalam apa bidang yang diceburi dan mampu berdikari.
“Peserta juga boleh meneroka industri hiliran yang berkaitan dengan produk mi yang boleh diusahakan secara kecil-kecilan,” katanya.
Yusuf berkata boleh dikatakan bahawa program ini merupakan satu program yang membawa kesan berpanjangan kepada peserta dan memberi manfaat besar kepada penduduk setempat.
“Saya berharap agar APPGM-SDG menyarankan program kemahiran lain termasuk untuk golongan lelaki atau belia dan tidak hanya tertumpu kepada wanita.
“Saya juga berharap hasil daripada latihan ini semua peserta dapat berjaya maju dalam bidang yang diceburi selain membuka pasaran dengan lebih luas.
“Melalui program ini juga kawasan Tanjung Manis telah berjaya melahirkan berberapa orang pengusaha dan pembekal mi kuning bagi pasaran di Tanjung Manis, Belawai,Rajang, Jerijih dan sekitarnya,” katanya.
Oleh Earl Anek