BINTULU: Memasuki hari keempat Festival Layang-Layang Antarabangsa Borneo (BIKF) 2026, Pertandingan Fesyen Bahan Kitar Semula menjadi antara aktiviti sampingan yang menghimpunkan 20 bakat cilik memperagakan busana kreatif hasil ciptaan daripada bahan kitar semula di Lapangan Terbang Lama Bintulu, petang tadi.
Pertandingan anjuran Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) menerusi Perpustakaan Awam BDA Bintulu itu melibatkan penyertaan kanak-kanak berusia empat hingga 12 tahun, dengan setiap peserta diberikan masa selama dua minit untuk memperagakan hasil ciptaan masing-masing di hadapan panel penilai.
Bertemakan ‘Peragaan Kitar Semula (Recycle Runway)’, para peserta menghasilkan busana menggunakan pelbagai bahan kitar semula dan bahan terpakai seperti botol plastik, kotak, surat khabar lama, kertas serta plastik pembungkus yang diolah menjadi pelbagai rekaan kreatif.

Menurut urusetia pertandingan, Ainul Mardiah, penganjuran program itu bertujuan memupuk kesedaran mengenai amalan 3R iaitu Kurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula, selain meningkatkan kesedaran tentang kepentingan memelihara alam sekitar dalam kalangan generasi muda.
Beliau berkata, pertandingan itu bukan sahaja melibatkan penyertaan kanak-kanak dari Bintulu, malah turut disertai peserta dari beberapa kawasan lain seperti Miri, Sibu dan Mukah.
“Melalui pertandingan ini, kami berharap dapat memupuk kesedaran mengenai amalan 3R iaitu Kurangkan, Guna Semula dan Kitar Semula serta kepentingan memelihara alam sekitar dalam kalangan generasi muda.
“Pada masa sama, pertandingan ini menggalakkan kreativiti dan inovasi kanak-kanak dalam menghasilkan busana menggunakan bahan kitar semula atau bahan terpakai, selain menyediakan platform kepada mereka untuk menyerlahkan bakat dan meningkatkan keyakinan diri,” katanya.

Johan pertandingan dimenangi oleh Rosna Rosidi, 11, yang membawa pulang baucar bernilai RM800.00 berserta e-sijil penghargaan.
Tempat kedua pula disandang oleh Gwee Leap, 6, yang menerima baucar bernilai RM600.00, manakala tempat ketiga dimenangi oleh Beatericia Joanna Jedave, 9, yang membawa pulang baucar bernilai RM400.00 berserta e-sijil penghargaan.
Sementara itu, seorang ibu bapa peserta, Afiq Ahmad, 36, dari Mukah, berkata beliau membawa anaknya menyertai pertandingan itu kerana melihat banyak manfaat yang diperoleh melalui program berkenaan.
“Ini merupakan kali kedua anak saya menyertai pertandingan seperti ini. Saya mendapati pertandingan ini banyak memberi manfaat kepada kanak-kanak kerana bukan sahaja dapat mengasah kreativiti, malah menyerlahkan bakat mereka dalam menghasilkan sesuatu menggunakan bahan kitar semula,” katanya.
Beliau berharap lebih banyak program seumpama itu dapat dianjurkan pada masa hadapan bagi memberi peluang kepada kanak-kanak mengembangkan bakat dan kreativiti mereka.

Bagi Sharifah Muhaini Wan Abidin, 44, dari Miri, yang merupakan ibu kepada johan pertandingan, penyertaan dalam pertandingan itu berbaloi walaupun terpaksa datang dari luar Bintulu.
“Bagi saya, memang berbaloi datang dari Miri untuk menyertai pertandingan ini. Program seperti ini sangat membantu mengasah bakat anak-anak yang meminati bidang seni, khususnya fesyen,” katanya.
Beliau yang merupakan seorang jurusolek profesional (MUA) berkata, minat terhadap bidang seni dalam keluarganya mendorong beliau menggalakkan anaknya menyertai pertandingan tersebut.
“Saya sendiri berkecimpung dalam bidang solekan, manakala anak saya sangat meminati bidang fesyen. Jadi, saya melihat pertandingan seperti ini sebagai platform yang sesuai untuk menyerlahkan bakat serta meningkatkan keyakinan dirinya,” katanya.
Majlis penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Datin Dewi Ratna Abdul Ghani, isteri kepada Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), bersama Pengurus Perpustakaan Awam BDA Bintulu, Affendi Iezar.
Oleh Faizah Muzidi





