
SIMANGGANG: Seramai 19 peserta yang terdiri daripada pengetua dan guru besar dalam Daerah Sri Aman telah menyertai majlis Khatamal al-Quran di Dewan Masjid Bandar Sri Aman, petang kelmarin.
Majlis yang pertama kali dianjurkan ini turut melibatkan warga Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sri Aman.
Menurut Pegawai PPD Sri Aman, Abdul Rahman Muhiyuddin berkata, program ini diadakan bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan pemimpin pendidikan serta menghidupkan semangat Ramadan dengan mendekatkan diri kepada al-Quran.
“Program perdana ini diharap menjadi pemangkin kepada lebih banyak inisiatif keagamaan dan kebajikan yang melibatkan gabungan tenaga pendidik dan jabatan pendidikan daerah,” katanya.
Beliau turut menyatakan bahawa majlis ini mengangkat tema ‘Bersatu Membina Generasi Quranik’ sebagai salah satu usaha memperkukuhkan budaya cintakan al-Quran dalam kalangan warga pendidik dan pelajar.
“Khatam al-Quran bukan sekadar acara simbolik, tetapi satu penghormatan kepada usaha gigih para peserta yang istiqamah dalam membaca, memahami dan menghayati kitab suci ini,” tambahnya.
Sementara itu menurut Penolong Pegawai Pendidikan Unit Pendidikan Islam, PPD Sri Aman, Ustaz Saifullah Ismail berkata, program seperti ini bukan sahaja merapatkan hubungan antara warga pendidikan, tetapi juga menggalakkan penghayatan al-Quran sebagai panduan hidup.
“Majlis ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi bukti komitmen kita untuk menjadikan al-Quran sebagai pedoman dalam melahirkan generasi berakhlak mulia,” ujarnya.
Sebagai tanda penghargaan, majlis turut menyaksikan penyampaian cenderahati kepada para penyumbang Program Ihya Ramadan serta hadiah kepada peserta khatam al-Quran.
Majlis diakhiri dengan acara berbuka puasa beramai-ramai, menandakan kesyukuran atas kejayaan program yang penuh keberkatan ini.
Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan pada masa hadapan sebagai salah satu aktiviti tahunan Ramadan bagi mengukuhkan kecintaan terhadap al-Quran serta menyemai nilai Islam dalam kehidupan seharian.
Turut hadir Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Lingga, Suhaidi Los yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Masjid Bandar Sri Aman, Azmi Morshidi.
Oleh Adi Saparman