
BINTULU: Seramai 189 pemilik tanah menerima surat hak milik di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak yang melibatkan keluasan keseluruhan 761.437 hektar pada majlis penyerahan Surat Hak Milik Tanah dan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) bagi kawasan Bintulu, hari ini.
Manakala seramai 39 penerima pula menerima Lesen Pendudukan Sementara (TOL) membabitkan 39 lot di bawah Skim Pembesaran Kampung (SPK) Kampung Melayu Tubau, Sebauh.
Penguasa Tanah dan Survei Bahagian Bintulu, Sr Haslinda Hamdan berkata penyerahan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri mempercepat pengeluaran surat hak milik menerusi pelaksanaan Inisiatif Baharu Hak Adat Bumiputera (NCR).
“Syabas dan tahniah kepada bakal penerima surat hak milik tanah dan penerima lesen pendudukan sementara pada hari ini yang telah menunggu sekian lama dan hari ini merupakan hari yang dinantikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis yang disempurnakan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Auditorium BDA, Wisma Bintulu hari ini.

Haslinda berkata, penyerahan surat hak milik itu melibatkan tiga kawasan iaitu Sungai Senunok dan Sungai Kelebu di DUN Kakus, Sungai Rasan di Tubau melibatkan DUN Murum dan DUN Kemena serta Sungai Sepadoh di DUN Jepak.
Menurutnya, bagi pelaksanaan Fasa Kedua Inisiatif Baharu NCR di Bahagian Bintulu, sebanyak 3,785 lot individu melibatkan keluasan 10,455 hektar telah berjaya diukur.
Daripada jumlah itu 1,358 lot membabitkan keluasan 4,256 hektar telah dikeluarkan surat hak milik di bawah Seksyen 18 Kanun Tanah Sarawak.
Menurutnya, pencapaian itu membuktikan keberkesanan kerjasama antara Jabatan Tanah dan Survei, agensi kerajaan serta masyarakat dalam mempercepat proses pengukuran tanah dan pengeluaran hak milik, sekali gus memberi kepastian pemilikan kepada rakyat.
Oleh Carolyne Utih