PETRA JAYA: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh pembangunan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) menerusi kerjasama strategik antara Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) dengan Budding Readers Sdn. Bhd.
Kerjasama itu dimeterai menerusi Memorandum Perjanjian (MoA) bagi melaksanakan Program Sains Semula Jadi Bersepadu National Geographic Learning di Pusat Sains Sarawak, hari ini.

MoA berkenaan ditandatangani oleh Setiausaha Tetap MEITD, Datu Adana Jed dan Pengarah Budding Readers Sdn. Bhd., Charles Shim, serta disaksikan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn.
Menerusi kerjasama tersebut, buku rujukan sains bertaraf antarabangsa terbitan National Geographic Learning yang merangkumi subjek Biologi, Fizik dan Kimia akan dibekalkan kepada semua 187 sekolah menengah di Sarawak.
Inisiatif itu dijangka memberi manfaat kepada 7,217 kelas aliran sains di seluruh negeri, sekali gus memperkukuh proses pengajaran dan pembelajaran menerusi penggunaan bahan rujukan yang berkualiti.
Program berkenaan mencerminkan komitmen kerajaan Sarawak dalam meningkatkan mutu pendidikan sains dengan menyediakan sumber pembelajaran bertaraf antarabangsa yang mampu memperkukuh literasi sains, menggalakkan pembelajaran berasaskan inkuiri serta memupuk kemahiran berfikir secara kritis dalam kalangan pelajar.
Pada masa sama, pelaksanaan program itu turut menyokong aspirasi negeri untuk meningkatkan penyertaan dalam bidang STEM dan melahirkan modal insan berdaya saing selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Melalui akses yang lebih meluas kepada bahan pendidikan berkualiti, program tersebut dijangka meningkatkan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, di samping menyemarakkan minat pelajar terhadap bidang sains dan inovasi.
Kerjasama strategik itu turut membuktikan komitmen berterusan antara kerajaan dan sektor swasta dalam memperkasa kecemerlangan pendidikan serta memastikan pelajar Sarawak dilengkapi ilmu pengetahuan dan kompetensi yang diperlukan untuk memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan.
Oleh Norman B





