
KUALA LUMPUR: Astro kembali dengan ‘Big Stage Alpha’, edisi terbaharu yang memberi nafas segar kepada konsep asal siri realiti popular Big Stage dalam musim terbaharunya.
Buat julung kalinya, program ini tampil dengan format all-male spin-off, menampilkan 18 bintang lelaki yang akan bersaing untuk merebut peluang eksklusif menjadi sebahagian daripada ‘group’ (kumpulan lelaki) pertama yang bakal debut di bawah naungan Astro, ditentukan melalui gabungan markah juri dan undian peminat.


BAKAL MERIAHKAN PENTAS… Big Stage Alpha menampilkan dua hos berkarisma, Elly Mazlein dan bintang Indonesia, Rina Nose. Foto ASTRO
Big Stage Alpha akan mula bersiaran pada 27 April 2025, setiap Ahad 9.00 malam di Astro Ria (Saluran 104) dan turut distrim melalui Astro GO dan sooka.
Edisi baharu Big Stage Alpha membuka pentas yang lebih luas untuk para peserta mengasah bakat, menyerlahkan potensi dan menempatkan diri mereka dalam industri muzik yang semakin kompetitif.
Pembaharuan ini bukan sahaja menjawab kehendak penonton yang sentiasa dahagakan kandungan yang segar, dinamik dan relevan, malah turut memperkukuh aspirasi Astro dalam melahirkan bintang tempatan yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Big Stage Alpha memperkenalkan 18 peserta lelaki yang terpilih daripada proses uji bakat yang dibuka kepada umum buat kali pertama dalam sejarah penerbitan Big Stage.
Mereka dinilai berdasarkan bakat vokal yang luar biasa, karisma di pentas serta kebolehan mereka untuk bersinar secara berkumpulan.
Peserta ini yang berusia antara 18 hingga 37 tahun, datang daripada pelbagai latar belakang termasuk Brunei, Singapura dan Indonesia, membawakan kepelbagaian yang memukau dan menarik dalam persaingan ini.
Menurut Ketua Saluran Astro Ria, Norzeha Mohd Salleh, “Mengikuti trend hiburan antarabangsa yang semakin mengangkat format pertandingan idola berasaskan satu jantina, Big Stage Alpha hadir sebagai respons Astro terhadap fenomena ‘idol survival’ yang semakin mendapat tempat di hati peminat.
“Diinspirasikan daripada aliran program realiti terbesar di Asia, program ini menggabungkan pertandingan nyanyian berintensiti tinggi, naratif penuh emosi dan kuasa fandom, sekali gus meraikan bakat tempatan dalam sebuah platform produksi tempatan bertaraf antarabangsa.
“Kami berharap dapat mencorak transformasi peserta, bukan sahaja melalui usaha mereka sendiri, tetapi juga dengan bimbingan serta sentuhan profesional daripada barisan pakar tempatan dan antarabangsa.
“Kami percaya inisiatif ini akan membuka ruang baharu dalam industri hiburan dan dengan penuh keterujaan, kami mengajak seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama menyaksikan perjalanan peserta Big Stage Alpha dalam menawan pentas dunia.”
18 peserta yang akan bersaing dalam Big Stage Alpha adalah Afiq Sky, Alif Azri, Allan Andersn, Ariel Fesol, Ashmirul, Araff, Que, Qarl G, Daniel Sher, Ray-D, Apich Lo, Ridhwan Azman, Awienit, Suff Ahmed, Syafeek Ikhwan, Izat Ibrahim, Rizal Rasid dan Shaqeen.
Setiap minggu, mereka akan diuji hingga ke had maksimum melalui persembahan solo dan misi berkumpulan berdasarkan tema yang diberi.
Juri akan memberikan markah, namun undian peminat yang akan menentukan siapa yang layak ke peringkat akhir untuk menjadi salah satu fenomena muzik seterusnya di Malaysia.
Rancangan ini akan dihoskan oleh dua personaliti berkarisma, Elly Mazlein dan bintang Indonesia, Rina Nose, yang akan membawa kembali tenaga, gelak tawa dan keunikan humor mereka ke pentas.
Manakala, panel juri akan menampilkan barisan artis berpengaruh dan berkaliber termasuk Edry Abdul Halim, Datuk Syafinaz Selamat dan Hael Husaini.