SPAOH: Seramai 18 penerima dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban menerima bantuan input perikanan bernilai keseluruhan RM119,490.45 bagi membantu mengembangkan projek ternakan ikan air tawar.
Bantuan berkenaan dilihat mampu menjadi pemangkin kepada usaha penerima meningkatkan pengeluaran ikan, sekali gus menjana sumber pendapatan tambahan untuk keluarga, khususnya masyarakat luar bandar.
Bagi Tuai Rumah Ambu Liben dari Rumah Panjang Suri Tengah, Debak, bantuan tersebut membuktikan keprihatinan kerajaan Sarawak dalam memperkasa ekonomi masyarakat luar bandar melalui projek yang memberi manfaat secara langsung kepada penerima.
Menurutnya, sokongan berterusan kerajaan amat penting bagi membantu masyarakat luar bandar mengembangkan aktiviti ekonomi berasaskan sumber setempat secara lebih tersusun dan berdaya maju.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Saban, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, atas bantuan yang disalurkan kepada penerima.
Sementara itu, Dana Munang, salah seorang penerima, berkata bantuan berkenaan membolehkannya mengembangkan projek ternakan ikan air tawar, sekali gus menambah pendapatan keluarga.
“Saya amat menghargai bantuan ini kerana ia dapat mengurangkan beban kos dan membantu saya mengembangkan projek ternakan ikan dengan lebih baik,” katanya.
Bantuan berkenaan diserahkan menerusi Simbolik Penyerahan Bantuan Input Perikanan DUN Bukit Saban oleh Setiausaha Politik Premier Sarawak, Roseline Mapong Sabai, selaku wakil kepada Datuk Amar Douglas Uggah Embas, di perkarangan Pejabat Pertanian Spaoh, hari ini.
Antara bantuan yang diterima termasuk set tangki air, 504 beg baja ikan, 29,497 ekor anak ikan terdiri daripada Talapia Merah dan Jelawat, selain pelbagai peralatan berkaitan ternakan ikan air tawar.
Bantuan bernilai lebih RM119,000 itu diagihkan menerusi Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) dan dijangka memberi manfaat secara langsung kepada 18 penerima di kawasan DUN Bukit Saban.
Inisiatif tersebut diharap dapat membantu penerima mengembangkan aktiviti ternakan ikan secara lebih sistematik, sekali gus meningkatkan produktiviti serta potensi pendapatan daripada sektor perikanan.
Pada masa sama, projek berkenaan mampu menjadi sumber pendapatan tambahan keluarga dan membuka peluang kepada masyarakat luar bandar untuk menceburi bidang agroekonomi yang mempunyai potensi untuk dikembangkan.
Usaha tersebut turut membuktikan komitmen kerajaan Sarawak dalam memperkasa ekonomi rakyat di luar bandar menerusi bantuan serta program pembangunan yang disesuaikan dengan keperluan setempat.
Oleh Adi Safarman





