KUCHING: Anggota Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) menghadap Yang di-Pertuan Agong melalui persidangan secara maya semalam untuk pengesahan pilihan perdana menteri.
Ketua Whip GPS Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, terdapat 17 daripada 18 anggota parlimen hadir secara maya serta disertai oleh Ahli Parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Bintulu Datuk Sri Tiong King Sing kini berada di Kuala Lumpur untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara.
“Seperti mana yang kita sedia maklum, Yang di-Pertuan Agong telah memanggil semua ahli parlimen yang telah membuat perakuan sumpah untuk mengesahkan Perakuan Sumpah untuk mengesahkan kandungan akuan sumpah mereka dan mengesahkan adakah pilihan ini di atas kerelaan hati mereka.
“Itulah pengesahan yang kami berikan. Kami ada 18 orang tadi mengesahkan kami sudah memilih calon perdana menteri dan mengesahkan bahawa calon yang kita pilih ini di atas kerelaan hati daripada setiap ahli parlimen dan khususnya GPS,” katanya, ketika ditemui media semalam.
Beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya mendedahkan ahli parlimen telah dipanggil satu persatu untuk menghadap Agong.
Pada masa yang sama juga beliau enggan untuk mendedahkan nama calon pilihan GPS.
“Kita tunggulah…biarlah Yang di-Pertuan Agong yang akan mengumumkan calon,” ujarnya.
Katanya lagi, proses pengesahan berkenaan masih berlangsung dan dijangka akan diteruskan sehingga 5.00 petang semalam.
Oleh JEAKQLEYN YACHO