
KUCHING: Seramai 17 warga asing ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan yang dilaksanakan pada awal pagi di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini, menurut kenyataan media Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak.
Operasi tersebut dijalankan di beberapa kawasan yang dikenal pasti sebagai lokasi penempatan warga asing, termasuk rumah kongsi dan bilik sewa, hasil risikan dan pemantauan yang dilakukan pihak berkuasa sebelum ini.
Daripada jumlah yang ditahan, seramai 16 individu merupakan warganegara Indonesia, manakala seorang lagi adalah lelaki warganegara Pakistan.

Kesemua mereka ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah ketika pemeriksaan dijalankan.
Menurut kenyataan itu, operasi berkenaan digerakkan dengan kekuatan seramai 28 pegawai penguat kuasa yang menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh di setiap premis terlibat.
Pihak JIM Sarawak memaklumkan bahawa tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana warga asing yang didapati melanggar peruntukan undang-undang imigresen, termasuk tidak memiliki dokumen sah atau tinggal melebihi tempoh yang dibenarkan.
Kesemua individu yang ditahan telah dibawa ke depot tahanan imigresen untuk siasatan lanjut sebelum tindakan susulan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa sebagai langkah berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta menjaga keselamatan dan ketenteraman awam di negeri Sarawak.
Oleh Adi Safarman