

KABONG: Sebanyak 17 projek Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR) berjumlah RM3.14 juta akan dilaksanakan tahun ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata antara projek yang akan dilaksanakan ialah bina baharu Dewan Serbaguna Terbuka Rumah Belayong Salleh Ulu Roban bernilai RM450,000, naik taraf Dewan Terbuka Rumah Nyandang Ulu Roban (RM100,000), naik taraf struktur berbumbung Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pasir (RM100,000).
Selain itu turut dilaksanakan projek naik taraf jalan dan jeti Kampung Sessang (RM250,000), naik taraf Dewan LAKIN Nyabor (RM350,000), naik taraf Gelanggang Sepak Takraw Kampung Nyabor (RM80,000), bina baharu bilik sejuk Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Gerigat (RM300,000), bina baharu jeti nelayan Kampung Darat Gerigat (RM250,000), naik taraf Masjid Ar-Rahim Kampung Gerigat (RM150,000).
Projek menaik taraf Masjid Lama Kampung Alit Kabong (RM100,000), bina baharu jambatan di ladang sawit Kampung Metang Desa (RM200,000), naik taraf Surau An-Nur Rahman Metang Disa Kabong (RM100,000), baik pulih Pejabat Daerah Kabong (RM100,000), naik taraf Gelanggang Sepak Takraw Kampung Sungai Pala Kabong (RM80,000) juga dilaksanakan selain naik taraf pelbagai laluan belian kepada laluan konkrit di Kampung Hulu Lintang (RM270,000), naik taraf Rumah Sebaguna Skim Kelapa Tanjung Empiyong (RM60,000) dan naik taraf laluan belian ke laluan konkrit Lorong Ali Wan (RM200,000).
“Justeru, pemantauan berterusan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta agensi pelaksana dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) perlu dijalankan dari semasa ke semasa untuk memastikan setiap projek dibiayai kerajaan Sarawak itu dilaksanakan dengan sempurna bagi memberi manfaat kepada masyarakat,” katanya semasa mengadakan lawatan tapak projek RTP di sekitar kawasan DUN Kabong, semalam.
Chee Kadir menambah, keseluruhan 40 projek pembangunan dengan peruntukan berjumlah RM5 juta telah diluluskan bagi pelaksanaan projek RTP pada tahun ini.
Turut hadir, wakil Pegawai Daerah Kabong Ahmad Sabree Salleh, Pegawai Tadbir Menguasa Pejabat Daerah Kecil Roban Steve Miller Nuas, Jurutera Awam JKR Betong Dayang Nurashreen Muneera Awang Mahmud, Penghulu Wahab Samsu dan Penghulu Rahman @ Dom Kapok.
Oleh Adi Safarman