BAKAL JADI WARTAWAN… Ding Liang Wong (duduk,tengah), Ivy Ngo Muk Lan (duduk, tiga kiri), Kadir Dikoh (duduk, tiga kanan) dan Mahdar Bujang (duduk, dua kiri) bergambar bersama peserta Bengkel Penulisan Berita sebaik sahaja selesai penyampaian sijil. • Foto ANDRE OLIVERO
KUCHING: Seramai 17 peserta dari seluruh pelosok negeri Sarawak semalam menyertai Bengkel Penulisan Berita untuk pemberita sambilan akhbar Utusan Sarawak di Hotel Samudra, di sini.
Menurut Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak, Kadir Dikoh, bengkel itu bertujuan mempelajari asas kewartawanan dengan peserta diberi latihan asas untuk kemahiran menulis berita.
Bengkel sehari itu bermula seawal 8.30 pagi merangkumi beberapa aktiviti seperti latihan alih bahasa dan latihan menulis berita melalui ‘sidang media’.
Dalam bengkel itu, antara topik yang difokuskan adalah seperti teknik menulis berita yang baik, tips menjadi wartawan yang ‘sebenar’, tips menemu ramah orang awam serta penggunaan tatabahasa dalam penulisan berita.
Bengkel tersebut melibatkan 17 peserta dari Daerah Lawas, Sibu, Miri, Mukah, Sri Aman, Samarahan, Sadong Jaya, Kuching, Matu, Kabong dan Meradong.
Selain mendengar ceramah dan terlibat dalam kerja secara bertulis, peserta turut berpeluang mengadakan lawatan ke ibu pejabat Utusan Sarawak di sini.
Bengkel berakhir pada 5.00 petang dengan penyampaian sijil kepada peserta serta mengambil gambar untuk kenang-kenangan.
Pengarah Urusan Utusan Sarawak, Ding Liang Wong, menyampaikan amanat sebelum sesi bengkel bermula.
Selain Kadir, turut memberi ceramah ialah Penasihat Politik Utusan Sarawak, William Chan.
Turut hadir Pengurus Besar Utusan Sarawak, Ivy Ngo Muk Lan serta dua editor kanan, Mahdar Bujang dan Yanti Sham.
Oleh RYNNA SHA’ERRA