MIRI : Sambutan Hari Malaysia cukup penting khususnya kepada rakyat Sarawak mengimbau sejarah pembentukan Malaysia pada setiap 16 September.
Sehubungan itu, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting berkata, tarikh 16 September perlu sentiasa disuburkan di dalam masyarakat Sarawak mengambil kira tarikh tersebut sinonim dengan pembentukan Malaysia antara tiga wilayah iaitu Semenanjung Malaysia, Sarawak dan Sabah.
“Masyarakat hari ini dan generasi akan datang perlu meraikan tarikh dan peristiwa ini sebagai pencetus kepada rasa sayangkan Sarawak dan ingin menyumbang kepada Sarawak di samping semangat patriotik dan cintakan negara dalam kalangan rakyat.
“Saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg kerana sentiasa komited dalam memastikan keinginan rakyat Sarawak supaya mana-mana hak yang sudah terhakis di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dikembalikan semula kepada negeri ini,” katanya.
Ting berkata demikian semasa berucap pada Program Ziarah UKAS – Semarak Kemerdekaan anjuran Unit Komunikasi Awam Sarawak, Jabatan Ketua Menteri Bahagian Miri yang diadakan di Grand Old Lady di Bukit Kanada di sini, semalam.
Program tersebut diadakan bersempena Hari Malaysia yang bakal diraikan pada 16 September ini.
Seramai 50 peserta penunggang bermotosikal iaitu terdiri daripada Kelab Sukan Rekreasi Permotoran Y15zr Miri (KPY15zr Miri), Geng Tayar Besar Miri (GTB Miri), Miri Rider Motorcycle Club (MRMC), Santai Bikers Team Bekenu, Pelesit Selatan, Riders 30 Miri dan Miri Bikers Club telah hadir bagi bersama-sama menyemarakkan lagi sambutan program tersebut.
Hadir sama, Datuk Bandar Miri , Adam Yii dan Residen Miri, Abdul Aziz Mohamad Yusuf.
Oleh LIONG CHAI LING