Kebersihan P-Turn bermula daripada pengguna

Facebook
WhatsApp
JEMAT Marin, 26, antara sukarelawan yang terlibat dalam usaha membersihkan sampah di kawasan P-Turn Lebuh Raya Pan Borneo.

BINTULU: Menyediakan plastik sampah sebelum berhenti di P-Turn mungkin kelihatan seperti perkara kecil, namun langkah mudah itu mampu membantu memastikan kawasan persinggahan di sepanjang Lebuh Raya Pan Borneo kekal bersih.

Bagi Jemat Marin, 26, kebersihan kawasan berkenaan bukan sekadar tanggungjawab pihak yang menjalankan kerja pembersihan, sebaliknya memerlukan kesedaran setiap pengguna.

Jemat bersama rakan-rakan pernah menyertai aktiviti Clean Up Pan Borneo dengan mengutip sampah yang ditinggalkan di sekitar P-Turn dan bahu lebuh raya berkenaan.

Menurutnya, apa yang lebih menarik perhatian selepas aktiviti itu ialah kawasan yang sudah dibersihkan kembali dipenuhi sampah.

Keadaan itu, katanya, menunjukkan bahawa usaha membersihkan kawasan tidak akan menyelesaikan masalah sekiranya sikap pengguna yang membuang sampah masih berulang.

“Kalau kita berhenti di P-Turn atau tepi jalan Pan Borneo, sentiasa sediakan plastik sampah supaya kita tidak terus membuangnya ke tanah atau jalan,” katanya.

USAHA membersihkan sampah di kawasan P-Turn Lebuh Raya Pan Borneo dilakukan sukarelawan secara gotong-royong.

Menurut Jemat, perubahan tidak semestinya memerlukan usaha besar kerana ia boleh bermula daripada tindakan mudah, iaitu menyimpan sampah sendiri sehingga menemui tempat yang sesuai untuk membuangnya.

Katanya, kewujudan sampah di sesuatu kawasan juga tidak sepatutnya menjadi alasan kepada pengguna lain untuk melakukan perkara sama.

“Kalau di tempat itu sudah ada sampah, jangan kita terikut-ikut membuang sampah juga,” katanya.

Bagi pengguna yang hanya melalui kawasan berkenaan dalam kenderaan, sebotol air mineral atau bekas makanan yang ditinggalkan mungkin kelihatan seperti perkara kecil.

Namun, apabila dilakukan oleh ramai pengguna, jumlah sampah akan bertambah dan akhirnya menjejaskan keadaan serta imej kawasan persinggahan.

Lebuh Raya Pan Borneo pula digunakan berulang kali oleh pelbagai lapisan masyarakat, termasuk penduduk setempat, pekerja, keluarga dan mereka yang melakukan perjalanan antara daerah.

PANDANGAN kawasan P-Turn Lebuh Raya Pan Borneo yang dipenuhi sampah, termasuk botol plastik dan bekas makanan yang dibuang di bahu jalan.

Justeru, kebersihan sepanjang laluan berkenaan turut menjadi tanggungjawab bersama kerana kawasan yang digunakan hari ini akan turut dinikmati oleh pengguna lain pada masa akan datang.

Jemat turut melihat golongan muda sebagai antara kelompok yang boleh memainkan peranan dalam membentuk budaya baharu yang tidak menganggap kebersihan sebagai tugas orang lain semata-mata.

Menurutnya, mereka yang mengutip sampah tidak semestinya orang yang membuangnya, manakala kawasan yang pernah dibersihkan juga tidak semestinya kekal bersih tanpa kesedaran pengguna.

Akhirnya, kebersihan P-Turn bergantung kepada pilihan setiap pengguna, sama ada meninggalkan sampah selepas berhenti atau membawanya bersama sehingga menemui tempat yang sesuai untuk dibuang.

Pilihan itu hanya mengambil masa beberapa saat, tetapi jika diamalkan oleh setiap pengguna, kesannya mampu bertahan lebih lama daripada sebuah aktiviti gotong-royong.

Oleh Carolyne Utih