KUCHING: Sarawak telah merekodkan enam belas lagi kes baharu positif Covid-19 semalam, menjadikan jumlah bilangan kes di negeri ini sebanyak 387 kes sejak kes positif pertama dilaporkan pada 13 Mac.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada 16 kes tersebut, 13 kes dirawat di Hospital Umum Sarawak (HUS), dua kes dirawat di Hospital Miri dan satu kes di Hospital Bintulu.
“Manakala, sebanyak 116 kes baharu Orang Yang Disyaki (PUI) dilaporkan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 3,065 kes.
“Daripada jumlah itu, 2,419 kes adalah negatif dan 49 kes PUI masih menunggu keputusan makmal,” katanya kepada pemberita dalam sidang media Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak yang diadakan di Wisma Bapa Malaysia semalam.
Menurut Uggah yang juga pengerusi JPBN, Kuching mencatatkan bilangan PUI tertinggi semalam dengan 59 kes diikuti Serian dan Miri dengan 16 kes.
“Sementara di daerah lain pula, Samarahan mencatatkan sembilan kes PUI, Bau, Simunjan dan Bintulu (empat), Lundu, Julau, Betong dan Mukah masing-masing mencatatkan satu kes,” beritahu Uggah.
Katanya, terdapat penambahan seramai 14 orang rakyat Sarawak yang tiba dari luar negara, Semenanjung, Sabah dan Labuan menjadikan jumlah keseluruhan seramai 1,091 orang yang ditempatkan di Pusat Survelan sebagai Orang Di Bawah Pengawasan (PUS) di Bahagian Kuching, Bintulu, Miri dan Limbang.
Tambah beliau, Sarawak kini berada dalam keadaan yang terkawal dengan kadar pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah sebanyak 97 peratus.
Beliau kemudianya menyeru agar rakyat Sarawak terus mematuhi arahan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan demi mengekang penularan Covid-19 ini daripada terus merebak.
Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Sri Dr. Sim Kui Hian.