KUCHING: Seramai 15 penghuni tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka musnah dalam insiden kebakaran di Kampung Semerah Padi di sini, hari ini.
Komander Operasi, Rahman Abang Deni berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu pada 12.12 tengah malam sebelum menggerakkan 18 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya dan BBP Padungan ke lokasi kejadian.
”Setibanya di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati insiden melibatkan sebuah rumah dua tingkat dan sebuah rumah setingkat yang telah terbakar 100 peratus.
”PKO Petra Jaya kemudian bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran 200 kaki dua nozel sumber air dari pili bomba berdekatan manakala PKO Padungan mengguna satu aliran bantu mula dari pam jentera,” katanya.
Insiden itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa kerana semua penghuni berjaya menyelamatkan diri sebelum api semakin marak.
Jelasnya lagi, punca kebakaran dan jumlah kerugian yang dialami masih dalam siasatan.
Operasi pemadaman ditamatkan pada 2.26 pagi setelah PKO memastikan keadaan kembali selamat.
Oleh Rynna Sha’erra