BINTANGOR: Seorang penunggang motosikal maut selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar seorang pejalan kaki dalam kemalangan di Kilometer 1, Jalan Kelupu berhampiran simpang Jalan Buan, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, dalam kejadian kira-kira 6.00 pagi itu, mangsa berusia 23 tahun dari Kampung Abang Amin disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pembantu Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Bintangor pada 6.39 pagi.
“Seorang pejalan kaki lelaki berusia 20 tahun hanya mengalami kecederaan ringan pada tangan kanan dan kaki kanan.
“Siasatan awal polis mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang menunggang motosikal dari arah Bintangor menghala ke Taman Bintang sedang bergerak lurus di lorongnya.
“Setibanya di lokasi kejadian, seorang pejalan kaki yang berada di bahu kiri jalan dipercayai melintas secara tiba-tiba memasuki laluan motosikal,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Katanya, jarak yang terlalu dekat menyebabkan mangsa gagal mengelak sebelum melanggar pejalan kaki berkenaan.
“Akibat pelanggaran itu, motosikal terbabas ke bahu kiri jalan, manakala mangsa tercampak dan terseret sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Siasatan awal turut mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada tindakan pejalan kaki yang gagal memastikan keadaan selamat sebelum melintas jalan sehingga memasuki laluan motosikal,” katanya.
Tambahnya, jenazah mangsa dibawa ke Hospital Sarikei bagi tujuan dokumentasi dan bedah siasat.
“Pejalan kaki berkenaan turut dibawa ke Hospital Sarikei untuk mendapatkan rawatan lanjut selain menjalani pengambilan sampel darah bagi ujian alkohol dan dadah.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Tansli turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) atau rakaman kamera lain berkaitan supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Zainal Abdul Ghafar di talian 011-11945095 atau hadir ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong.
“Pihak polis menyeru semua pengguna jalan raya supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya, memastikan keadaan selamat sebelum melintas atau menukar laluan, memiliki lesen memandu yang sah, memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik serta sentiasa memberi tumpuan penuh ketika berada di jalan raya bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
“Pihak IPD Meradong turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberikan ketabahan serta dipermudahkan segala urusan,” katanya.
Oleh Earl Anek





