SERIAN: Sebuah kenderaan pacuan empat roda terbabit dalam kemalangan kendiri di Kampung Bayo, di sini, tengah hari tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 1.50 petang.
Menurutnya, sepasukan tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serian bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan sebuah Emergency Medical Rescue Services (EMRS) dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira 23 kilometer dari balai.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada 2.12 petang dan mendapati sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terbabit dalam kemalangan kendiri mengeluarkan asap pada bahagian enjin.

“Tiada mangsa berada di lokasi ketika pasukan bomba tiba,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, anggota bomba kemudian menjalankan pemeriksaan ke atas kenderaan berkenaan bagi memastikan keadaan selamat dan tiada punca kebakaran.
Katanya, selepas pemeriksaan selesai, kenderaan itu diserahkan kepada pihak tunda untuk tindakan lanjut.
Operasi dikawal pada 2.15 petang dan tamat sepenuhnya lima minit kemudian pada 2.20 petang.etang.






