MUKAH: Kehadiran seramai 14 kakitangan tambahan Kementerian Kesihatan Malaysia(KKM) dari luar kawasan sememangnya amat dialu-alukan bagi membantu menangani kes Covid-19 di sini.
Menurut Residen Bahagian Mukah Hamdiah Bakir, tiga daripada kakitangan tambahan ini akan bertugasdi Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19(PKRC) .
“Ada 14 orang semuanya, tiga akan ditempatkan di PKRC dan yang selebihnya di lokasi lain termasuk terlibat dalam aktiviti pengesanan kes aktif dan sebagainya berkaitan dengan tugasan masing-masing,” ujar kepada media pada Majlis Ringkas Penyerahan Pendingin Hawa yang diadakan di PKRC pada Selasa lalu.
Pendingin Hawa tersebut adalah sumbangan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah & Sarawak) merangkap Ahli Parlimen Mukah, Dato Hajah Hanifah Hajar Taib dan Sarawak Energy Berhad (SEB).
Ia diserahkan kepada beliau oleh Pegawai Khas dari Pusat Khidmat Parlimen Mukah, Almalhakim Norshidi, yang mewakili Hanifah dan Abdul Rani, bagi pihak SEB .
PKRC yang berlokasi di Kompleks Sukan Komuniti Kem Belia Mukah berkenaan adalah bagi Rawatan Berisiko Rendah yang telah diwujudkan pada penghujung Januari tahun ini.
Menyentuh mengenai pusat tersebut, katanya, ia akan dibuka semula selepas dipindahkan ke Politeknik Mukah(PMU) hampir sebulan yang lalu.
Hamdiah yang juga merupakan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Mukah merasa lega kerana pusat itu kini mempunyai cukup katil dan tilam.
“Dalam masa yang sama saya ingin menyatakan kes Covid-19 di kawasan kita ini dalam keadaan terkawal dan setelah merekod yang tertinggi baru-baru ini 105 kes, dan kini ia sudah menurun . Keadaan di PMU juga telah di tahap terkawal setakat ini,” ujarnya.
Beliau percaya keadaan itu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan di beberapa kawasan tertentu di Mukah, termasuk di PMU.
Mengharapkan trend penurunan berkenaan akan menjadi senario seterusnya, beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Dato Hanifah, pihak SEB dan beberapa pihak yang telah menyumbang dan membolehkan pusat tersebut untuk beroperasi semula.
“Pengoperasian semula pusat ini kelak adalah lebih baik kerana kita JPBB Mukah mempunyai aset sendiri seperti 180 katil dan tilam. Sebelum ini kita meminjam daripada Kem Belia dan Kolej Rendah Sains MARA Mukah,” kata Hamdiah.
Hamdiah juga mendedahkan tentang keadaan di kawasan Jalan Bukut dan beberapa buah sekolah yang telah ditutup sementara di Daerah Mukah.
Sementara itu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri telah menamatkan tempoh Perintah Kawalawan Pergerakan Diperketatkan(PKPD) di PMU pada 28 April.
Perkara tersebut melegakan warga institusi pengajian tinggi itu dan pada 27 April Daerah Mukah hanya merekodkan 23 kes Covid-19.
Oleh Henry b Siyu