DALAT: Seramai 137 penduduk rumah panjang di Ulu Baoh dekat sini menyertai Program Bengkel Kepolisan Komuniti Daerah Dalat pada Ahad lalu.
Mereka adalah terdiri daripada dua penghulu, 15 tuai rumah dan 105 ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dari 15 rumah panjang di Rumah Agup, Ulu Baoh Dalat.
Program itu dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Yussibnosh Balo yang turut dihadiri Ketua Polis Daerah Dalat, DSP Saga Chunggat, seorang pegawai kanan polis dan dua pegawai rendah polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dalat.
Turut hadir pada bengkel yang bermula 9.00 pagi hingga 5.00 petang itu ialah wakil dari Pejabat Residen Mukah, Pejabat Daerah Dalat, Pejabat Kesihatan Daerah Dalat, Jabatan Perpaduan Bahagian Mukah dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Mukah.
Antara aktiviti diadakan ialah ceramah dan sesi soal jawab bersama agensi kerajaan yang terlibat dan diikuti dengan penyampaian Sijil Perakuan Pendaftaran JKKK oleh Yussibnosh.
Antara objektif bengkel ialah untuk mengeratkan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan masyarakat, memberi pendedahan kepada masyarakat kaedah menyelesaikan masalah yang dihadapi (customised), menanam semangat hak milik bersama dan masyarakat dalam menangani jenayah dan bekerjasama sebagai Smart Partnerships.
Pada bengkel itu, DSP Saga juga menjadi penceramah bersama wakil rakyat turut menyaksikan upacara ‘Miring’ bersama dengan penghulu dan tuai rumah yang hadir.
Oleh Henry B Siyu