KUCHING: Seramai 132 murid dan guru menyertai Program Kesedaran Hidupan Liar di Sekolah Kebangsaan (SK) Telaga Air bagi meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan hidupan liar, khususnya monyet Belanda.
Program anjuran Pejabat Wilayah Kuching, Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) itu turut memberi pendedahan mengenai habitat utama spesies berkenaan di kawasan hutan bakau Taman Negara Kuching Wetland.
Taman negara berkenaan yang diiktiraf sebagai Tapak Ramsar merupakan antara habitat penting monyet Belanda, sekali gus menjadikan usaha pemeliharaan ekosistem hutan bakau amat penting untuk kelangsungan spesies tersebut.

Selain memberi tumpuan kepada hidupan liar, program berkenaan turut mengetengahkan kepentingan pemeliharaan ekosistem hutan bakau menerusi perkongsian daripada Pertubuhan Warisan Bakau Sarawak (SABAKAU).
Warden Taman Negara Kuching Wetland, Mohd Firdaus Suieb dalam sesi ceramahnya berkongsi fakta mengenai monyet Belanda, selain menerangkan fungsi taman negara dan peranan SFC dalam melindungi hidupan liar di Sarawak.
Sementara itu, wakil SABAKAU, Abdul Razak Abdullah menjelaskan kepentingan hutan bakau daripada aspek ekonomi dan ekologi sebelum mengetuai bacaan ikrar pemeliharaan hutan bakau bersama para peserta.

Pelbagai aktiviti interaktif turut diadakan bagi meningkatkan pemahaman murid termasuk sesi soal jawab, kuiz berinformasi serta pertandingan mewarna bertemakan monyet Belanda.
Hadiah kepada pemenang pertandingan mewarna disampaikan Mohd Firdaus, manakala Pegawai Perhubungan Komuniti dan Pendidikan, Sophia Sik Sze Yong menyerahkan cenderamata kepada Penolong Kanan Hal Ehwal Murid SK Telaga Air, Suhana Panglima.
Program itu diharap dapat menyemai kesedaran dalam kalangan generasi muda mengenai tanggungjawab bersama untuk melindungi hidupan liar serta memelihara ekosistem hutan bakau demi kelestarian alam sekitar.





