
BINTULU: Seramai 120 penerima daripada golongan asnaf dan kurang berkemampuan dari 10 kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak menerima sumbangan bakul makanan dan bubur lambuk menerusi program Ziarah Ramadan Tong Seng Huat di Kampung Warisan Jepak hari ini.
Sumbangan itu disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak Iskandar Turkee bersama Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Steven Kong Kai Seng, Pegawai Khas kepada Ahli Parlimen Bintulu Azman Abdul Rahman, serta Penolong Pengurus Besar Tong Seng Huat Cawangan Bintulu Kong Jin Ann.

mengedarkan bubur lambuk kepada orang kampung.
Dalam ucapannya, Iskandar menyambut baik inisiatif pihak Tong Seng Huat yang dianggap dapat memberi kelegaan kepada golongan berkenaan, terutama dalam membuat persiapan menyambut Aidilfitri.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada pihak Tong Seng Huat atas sumbangan bermurah hati ini.
“Sumbangan ini pastinya memberi manfaat besar kepada penerima, lebih-lebih lagi dalam suasana bulan Ramadan yang penuh barakah ini.
“Semangat berkongsi rezeki dan membantu sesama insan adalah nilai murni yang perlu terus dipupuk dalam masyarakat kita.
“Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan dan diperluas lagi pada masa hadapan agar lebih ramai golongan memerlukan dapat dibantu,” katanya.
Beliau turut menggesa agar lebih banyak syarikat swasta menganjurkan aktiviti seumpama itu bagi membantu meringankan beban perbelanjaan dan membawa keceriaan kepada mereka pada bulan suci ini.
“Dengan semangat kebersamaan ini, kita bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan tetapi juga mengukuhkan hubungan silaturahim dalam masyarakat,” ujarnya.
Berkenaan program pengagihan bubur lambuk pula, Iskandar berpendapat inisiatif seumpama itu berupaya memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum pada Ramadan.
Sebanyak 600 pek bubur lambuk disediakan dan diagihkan kepada orang kampung di hadapan Padang Fustal Kampung Warisan Jepak.
Oleh Carolyne Utih