BINTANGOR: Program kesedaran awam yang dilaksanakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di tiga rumah panjang di sini berjaya meningkatkan kesiapsiagaan penduduk dalam menghadapi risiko kebakaran menerusi pendedahan mengenai langkah pencegahan dan tindakan awal ketika kecemasan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, program tersebut memberi penekanan kepada usaha meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai langkah pencegahan kebakaran serta tindakan awal yang perlu diambil ketika berdepan situasi kecemasan.
Beliau berkata, program itu turut bertujuan menyantuni komuniti rumah panjang di bawah kawasan jagaan BBP Bintangor, di samping memperkukuh pengetahuan penduduk mengenai aspek keselamatan kebakaran dan amalan pencegahan yang boleh diterapkan dalam kehidupan seharian.

“Penduduk turut diberi penerangan mengenai tatacara penggunaan alat pemadam api agar mereka lebih bersedia mengambil tindakan awal sekiranya berlaku kebakaran,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengetuai Program Kesedaran Awam di Rumah Kadu Burubau, Sungai Pilit Rumah Ledi Anyom, Bukit Beranggan dan Rumah Numpang Baba, Jalan Kilung, semalam.
Menurutnya, program yang bermula sekitar 10.00 pagi itu disertai seramai 30 penduduk dari ketiga-tiga rumah panjang berkenaan.

Selain itu, katanya, penduduk turut didedahkan mengenai kepentingan penggunaan selimut api, termasuk fungsi serta kaedah penggunaannya untuk memadam kebakaran kecil, khususnya yang berlaku di dapur.
“Selimut api merupakan antara peralatan keselamatan yang wajar dimiliki setiap isi rumah kerana mampu membantu mengawal kebakaran kecil sebelum api merebak dan menjadi lebih serius,” katanya.
Mahmudin berkata, pengetahuan mengenai penggunaan peralatan keselamatan kebakaran amat penting kerana tindakan pantas pada peringkat awal mampu mengurangkan risiko kecederaan, kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda.
Oleh Earl Anek





