SARIKEI: Bahagian Sarikei bakal menjadi tumpuan Program Sarawakku Sayang 2026 yang menghimpunkan pelbagai aktiviti berbentuk informasi, kebudayaan, hiburan dan penglibatan komuniti bagi mengeratkan hubungan antara kerajaan dengan rakyat.
Menurut hebahan awam Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), program yang berlangsung dari 7 hingga 9 Ogos di Kompleks Sukan Sarikei itu menawarkan pelbagai pengisian menarik untuk segenap lapisan masyarakat.
Kemuncak program ialah Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Sarikei yang dijadualkan dirasmikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pada 8 Ogos, 10.30 pagi.

Bagi menyemarakkan sambutan, orang ramai turut dijemput menghadiri Malam Budaya Sarawak pada 7 Ogos, bermula 8.00 malam, yang akan menampilkan pelbagai persembahan kebudayaan bertemakan Sarawak Harmoni, Warisan Etnik dan Gendang Bermukun.
Sambutan turut diserikan dengan persembahan daripada barisan artis tempatan termasuk Florence Lo, Raquel Then, Mawat, Leez Zwita, Ramles Walter, DJ Dane Teng, DJ Sonic dan kumpulan Sarikei Buskers.
Pada 8 Ogos pula, pentas utama akan diteruskan dengan Konsert Rakyat bermula 8.00 malam yang menampilkan artis popular seperti Amelina, Yadee, Iwan Dasri, Chien Ng, Bob Yusof, Ricky Andrewson, Dayangku Fadzilah dan kumpulan Band D’ Jaksa.

Sebagai tarikan tambahan, pengunjung juga berpeluang menyertai e-Peraduan Sarawakku Sayang yang berlangsung sepanjang program dari 7 hingga 9 Ogos, dengan pelbagai hadiah menarik menanti para pemenang.
Antara hadiah yang ditawarkan ialah sebuah motosikal, dua tiket penerbangan AirBorneo laluan Kuching–Kuala Lumpur–Kuching, dua set sofa, seutas gelang emas 916 seberat 20.13 gram, pelbagai barangan elektrik dan gajet, selain 60 hadiah saguhati.
Bagi menyertai e-Peraduan tersebut, peserta diwajibkan mempunyai akaun SarawakPass, menjawab semua soalan berdasarkan maklumat yang diperoleh di gerai pameran utama, manakala cabutan pemenang akan diadakan setiap hari sepanjang program berlangsung.
Orang ramai dijemput hadir memeriahkan Program Sarawakku Sayang 2026 Bahagian Sarikei serta mengambil peluang mengikuti pelbagai aktiviti yang disediakan, di samping mendapatkan maklumat mengenai inisiatif dan perkhidmatan kerajaan menerusi pameran yang diadakan sepanjang program.
Oleh Earl Anek





