12 penerima terima bantuan peralatan RM60,000

Facebook
WhatsApp
AMANAT…Datuk Rubiah Wang berucap pada Majlis Penyerahan Program Sejahtera MADANI: Peningkatan Pendapatan di Kota Samarahan, hari ini. Foto Norman B

KOTA SAMARAHAN: Seramai 12 penerima di Bahagian Samarahan menerima bantuan peralatan bernilai keseluruhan RM60,000 menerusi Program Sejahtera MADANI: Peningkatan Pendapatan bagi membantu mereka memperkukuh pekerjaan dan meningkatkan pendapatan.

Penerima terdiri daripada isi rumah (IR) yang berdaftar dalam sistem eKasih dengan pelbagai latar pekerjaan termasuk mekanik, buruh binaan, nelayan, penjahit, tukang gunting rambut, peniaga dan penghantar makanan.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, bantuan berkenaan disesuaikan mengikut bidang pekerjaan dan aktiviti ekonomi setiap penerima supaya dapat dimanfaatkan secara langsung.

BANTUAN…Baton Thomas menerima bantuan enjin bot nelayan menerusi Program Sejahtera MADANI: Peningkatan Pendapatan yang disampaikan Datuk Rubiah Wang di Kota Samarahan, hari ini. Foto Norman B

“Bantuan ini bukan sekadar untuk memenuhi keperluan semasa, tetapi diharap dapat membantu penerima meningkatkan produktiviti, memperkukuh pekerjaan dan seterusnya menambah pendapatan keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis penyerahan bantuan berkenaan di Dewan Dato’ Wan Ahmad Shabri Zainuddin, Pejabat RISDA, di sini, hari ini.

Program kendalian Pejabat Pembangunan Negeri Sarawak, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) itu memberi penekanan kepada usaha memperkasa penerima supaya mampu berdikari dan meningkatkan taraf kehidupan menerusi pekerjaan serta aktiviti ekonomi yang diceburi.

Menurut Rubiah, penerima juga perlu memanfaatkan peralatan yang diberikan sebaik mungkin bagi mengembangkan kegiatan ekonomi masing-masing.

“Kita berharap peralatan yang diterima menjadi pemangkin untuk mereka terus maju, meningkatkan kemahiran serta memperluaskan jaringan pelanggan supaya pendapatan dapat ditingkatkan secara berterusan,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima, Baton Thomas, yang menerima bantuan enjin bot nelayan berkata, bantuan tersebut amat bermakna dalam memudahkannya menjalankan aktiviti menangkap ikan sekali gus membantu meningkatkan pendapatan keluarga.

“Enjin bot ini sangat membantu saya untuk turun menangkap ikan dan memudahkan urusan mencari rezeki. Saya berharap dengan bantuan ini, hasil tangkapan dan pendapatan saya juga dapat ditingkatkan,” katanya.

Bagi Zon Kuching, sebanyak RM515,000 dibelanjakan untuk bantuan peralatan melibatkan pelbagai daerah di bawah zon berkenaan.

Sementara itu, sejumlah RM1.49 juta diperuntukkan di seluruh Sarawak bagi menyalurkan bantuan peralatan kepada isi rumah yang berdaftar dalam sistem eKasih.

Oleh Norman B