JULAU: Seramai 1,176 calon penduduk tempatan di sini telah menyertai Program Bantuan MyLesen (Kelas B2) peringkat P.209 Julau.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri dalam kenyataan medianya semalam berkata, program itu bermula Ogos lalu melibatkan pelaksanaan modul ujian bertulis, latihan memandu dan pengujian memandu untuk layak memperoleh lesen kelas B2.
“Program Bantuan MyLesen ini dikhususkan kepada masyarakat yang memerlukan, terutamanya yang tidak mempunyai kemampuan ekonomi khususnya bagi golongan B40.
“Program ini sebelum ini dikenali sebagai Program Bantuan Lesen Keluarga Malaysia, dijenamakan semula sebagai Program Bantuan Lesen Memandu (MyLesen) dan telah dilancarkan oleh Menteri Pengangkutan pada 30 Mei 2023 lalu,” kata JPJ dalam kenyataan media semalam.
Hasrat utama program ini adalah untuk membantu golongan B40 atau golongan berpendapatan rendah bagi mendapatkan lesen motosikal dengan kos yang minimum.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien dalam ucapannya pada majlis penutup program tersebut turut menyeru supaya penerima bantuan dapat menjadi contoh pengguna jalan raya yang berdisiplin.
Katanya, mereka perlu berhemah dengan mematuhi segala peraturan dan undang-undang jalan raya serta menyumbang kepada penurunan kadar kemalangan jalan raya di negara ini.
“Sebagai makluman, untuk 2023 bagi negeri Sarawak, jumlah kemalangan adalah sebanyak 21,418 kes.
“Dari jumlah tersebut, kemalangan maut adalah sebanyak 378 kes dan 198 kes adalah melibatkan motosikal.
“Hal ini bertepatan dengan aspirasi kerajaan untuk mengurangkan jumlah kematian akibat nahas jalan raya sebanyak 50 peratus menjelang 2030,” katanya yang juga Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).
Beliau berkata menerusi inisiatif Program Bantuan MyLesen, belia diberi latihan serta kesedaran disiplin dalam mematuhi undang-undang di jalan raya, sekali gus membantu mempermudahkan mereka dalam urusan harian dan juga dapat meningkatkan ekonomi mereka.
Turut hadir pada majlis tersebut adalah Elisa Benson selaku wakil Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan, Tan Sri William Mawan Ikom; Tuai Rumah Ama Unan selaku wakil ADUN Meluan, Rolland Duat Jubin; Ketua Bahagian Kanan Pengurusan Keselamatan Jalan Raya dan Koporat JPJ Sarawak, Christopher Alex Boniface Barau selaku wakil Pengarah JPJ Sarawak, Norizan Jili; Donald Ghani selaku wakil Residen Sarikei, Datu Michael Ronnie Langgong; Nacklos Awang Musa selaku wakil Pegawai Daerah Julau dan Pegawai Daerah Pakan, Mohd Irwan Abdullah @ William Manggoi.
Oleh Earl Anek