SIMUNJAN: Seramai 105 orang pengundi awal bagi kerusi Parlimen Batang Sadong dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) mula mengundi pada jam 8 pagi tadi.
Kesemua pengundi awal di Parlimen Batang Sadong itu adalah anggota polis dan mereka mengundi di Bilik A Surau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Simunjan.
Pusat pengundian awal itu dibuka jam 8 pagi hingga 2 petang dan mempunyai dua saluran mengundi.
Proses pengundian awal itu turut disaksikan oleh ejen calon yang bertanding.
Selepas proses pengundian awal selesai, kertas-kertas undi akan disimpan di lokap balai polis untuk dipastikan selamat dan hanya akan dikira pada 19 November nanti di pusat pengiraan undi yang ditetapkan SPR dengan disaksikan oleh ejen calon masing-masing
Untuk rekod, Parlimen Batang Sadong menyaksikan pertandingan satu lawan satu dengan calon Gabungan Parti Sarawak (GPS) Rodiyah Sapiee yang juga muka baharu berdepan calon Pakatan Harapan (PH) Lahaji Lahiya.
Parlimen Batang Sadong mempunyai keseluruhan 32,640 pengundi.