
BINTANGOR: Seramai 932 orang pelajar, 70 orang guru, lapan orang kakitangan sokongan dan tujuh orang pekerja swasta Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kai Chung terlibat dalam Program Kesedaran Awam bersama pihak bomba, semalam.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran keselamatan kebakaran dalam kalangan warga sekolah.
“Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program dari 8.30 hingga 10.30 pagi.
“Ia termasuklah latihan pengungsian bangunan, ceramah keselamatan kebakaran, demonstrasi pemadaman api menggunakan alat pemadam api (APA) serta pameran jentera bomba,” katanya ketika dihubungi.
Katanya, program tersebut penting bagi memastikan warga sekolah memahami prosedur kecemasan dan tindakan awal yang perlu diambil sekiranya berlaku kebakaran.
“Latihan sebegini memberikan pendedahan kepada pelajar dan kakitangan sekolah mengenai langkah-langkah keselamatan kebakaran, selain meningkatkan kesedaran terhadap bahaya kebakaran di persekitaran sekolah.
“Selain itu, pemeriksaan Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK) turut dijalankan bagi mengenal pasti serta mengurangkan risiko kebakaran di kawasan sekolah,” katanya.
Tambahnya, program tersebut dikendalikan oleh penyelia pasukan, Mijan Pamin dan empat orang anggota bomba.
Oleh Earl Anek