BINTULU: Seramai 100 usahawan wanita menyertai Program Minum Petang Kelab Usahawan Wanita Bintulu (KUWB) 2026 yang berlangsung di Li Hua Hotel, di sini, hari ini.
Program bertemakan “Memacu Kejayaan dan Perjuangan Bersama” itu dianjurkan bagi memperkukuh jaringan usahawan, selain memberi pendedahan mengenai pembiayaan perniagaan, pendigitalan, literasi kewangan, perlindungan harta intelek serta kesedaran terhadap penipuan dalam talian.
Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.68 Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming.
Dalam ucapannya, Johnny berkata pelantikannya sebagai penasihat KUWB merupakan satu amanah untuk bersama-sama memperkukuh pembangunan usahawan wanita di Bintulu.
Beliau berkata, golongan usahawan wanita memainkan peranan penting bukan sahaja dalam menjana ekonomi, malah menjadi tonggak kepada keluarga dan masyarakat.
“Saya amat menghargai semangat, ketabahan dan kecekalan yang ditunjukkan oleh semua usahawan wanita. Kejayaan yang dicapai hari ini bukan sekadar hasil kerja keras, tetapi juga keberanian dan kesungguhan untuk terus maju,” katanya.
Menurutnya, KUWB menjadi platform penting menghimpunkan usahawan wanita untuk berkongsi pengalaman, bertukar idea, membina rangkaian perniagaan serta saling menyokong dalam menghadapi cabaran dunia keusahawanan.
Beliau turut menggesa golongan itu memanfaatkan teknologi digital bagi mengembangkan perniagaan selaras dengan perkembangan ekonomi digital Sarawak.
Pada majlis itu, Johnny turut mengumumkan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada KUWB bagi menyokong pelaksanaan program serta pembangunan kelab.
Sementara itu, Pegawai Khas kepada Dato Sri Tiong King Sing iaitu Steven Kong Kai Seng berkata, wanita masa kini memainkan peranan penting sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi dan pencipta peluang pekerjaan.
Beliau berkata kejayaan ramai usahawan wanita di Bintulu membuktikan golongan itu mampu mengembangkan perniagaan daripada skala kecil sehingga menembusi pasaran yang lebih luas.
“Ini membuktikan wanita mempunyai potensi besar apabila diberi peluang, sokongan dan ruang untuk berkembang,” katanya.
Menurutnya, landskap perniagaan kini berubah dengan pantas seiring perkembangan teknologi, kecerdasan buatan (AI) dan pemasaran digital. Justeru, usahawan perlu sentiasa meningkatkan kemahiran serta meneroka peluang baharu bagi memastikan perniagaan kekal berdaya saing.
Beliau berkata, kemudahan digital perlu dimanfaatkan bukan sahaja untuk mempromosikan produk, malah memperluaskan pasaran serta membina hubungan yang lebih kukuh dengan pelanggan.
Katanya, kerajaan akan terus memberi perhatian terhadap pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menerusi pelbagai inisiatif, termasuk bantuan pembiayaan, latihan keusahawanan, pembangunan kapasiti serta pendigitalan perniagaan.
Beliau turut berharap lebih ramai usahawan wanita tampil sebagai mentor kepada generasi baharu agar pengalaman dan kejayaan mereka dapat menjadi inspirasi kepada lebih ramai wanita menceburi bidang keusahawanan.
Turut hadir Pengerusi KUWB Hellen Anbi, wakil Timbalan Residen Bahagian Bintulu merangkap Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan Bahagian (MPUB) Bintulu Jenny Erang, Setiausaha Politik kepada Pejabat Premier Sarawak Angellie Stephen Raja, wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) Inspektor Nor Hajar Ummiah Osman, wakil Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Agnes Lida serta wakil agensi kerajaan, institusi kewangan dan pertubuhan berkaitan.
Oleh Faizah Muzidi





