

PETRA JAYA: Sebanyak 100 bakul sumbangan menerusi inisiatif Bakul Rahmah diserahkan kepada penerima yang terdiri daripada wakil pelbagai Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dalam sebuah majlis yang penuh bermakna.
Majlis Berbuka Puasa dan Penyampaian Bakul Rahmah itu yang berlangsung malam tadi, bertujuan membantu golongan yang memerlukan agar dapat menyambut Ramadan dengan lebih selesa.
Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara, Datuk Ruji Ubi hadir bagi menyempurnakan penyerahan Bakul Rahmah kepada para penerima.
Senarai penerima sumbangan kali ini melibatkan wakil dari 10 KRT yang dipilih, dengan setiap kawasan menerima jumlah sumbangan yang berbeza, bergantung kepada keperluan masing-masing.
KRT Kampung Malaysia Jaya merupakan penerima terbanyak dengan 20 bakul sumbangan manakala KRT Kampung Semariang Batu Zon 4, KRT Kampung Lintang, KRT RPR Fasa II Jalan Astana, KRT Kampung Sinjan/Tanjung, KRT Kampung Tupong Ulu, KRT Kampung Tupong Tengah, KRT Satok/Kudei serta KRT Kampung Kudei Baru Zon B masing-masing menerima lima bakul sumbangan.
Sementara itu, KRT Taman Harmoni Batu 8 menerima sebanyak lapan bakul sumbangan bagi meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan di kawasan tersebut.
Antara individu yang tersenarai sebagai penerima Bakul Rahmah ini termasuklah Kamsina Bahari, Zulkifli Mohamad, Haslin Ahmad, Kushairi Abdullah, Rani Bongkol, Fatimah Bolh, Fais Ismail, Ismail Abdullah, Mohamad Aidil Yahya, Amit Lory, Azizan Kipli dan Selena Rahmat.
Inisiatif penyampaian Bakul Rahmah ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk membantu golongan kurang berkemampuan, terutamanya menjelang Ramadan.
Turut hadir pada majlis itu ialah Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sarawak Dirwana Azool, Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Sarawak Giri Nyareng, Pegawai Perpaduan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Bahagian Kuching Rose Jonathan Garau, Penghulu Kampung Malaysia Jaya Awang Sepian Juini dan lain-lain.
Oleh Amanda L.