SARIKEI: Setiap lapisan masyarakat tanpa mengira usia mempunyai tanggungjawab bersama untuk memastikan Sarikei terus membangun, kekal lengkap dan mampu memanfaatkan potensinya pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, pembangunan kawasan itu memerlukan kebersamaan masyarakat daripada semua generasi.
“Tidak kira usia, kita semua perlu bersatu menjaga tanah air ini dan memastikan Sarikei terus membangun dengan baik.
“Sarikei ini ibarat pepatah, ‘kecil-kecil cili padi’, walaupun kawasan kita kecil, namun ia lengkap dan mempunyai segala-galanya,” katanya.

Tiong Sii yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata demikian ketika menghadiri Pertandingan Nyanyian Kali Ke-31 serta Pertandingan Nyanyian Bahagian Veteran Lelaki dan Wanita Peringkat Negeri Seluruh Sarawak Kali Ke-28 anjuran Kelab Menyanyi Kebudayaan dan Sosial Jia Jia Sarikei, baru-baru ini.
Katanya, semangat kebersamaan itu juga dapat diterapkan menerusi aktiviti sosial dan kebudayaan yang menghimpunkan masyarakat daripada latar usia berbeza.
“Pertandingan ini menghimpunkan generasi muda dan penyanyi berpengalaman kerana saya percaya nyanyian dapat membina jambatan bagi dua generasi dan kesinambungan budaya.
“Selagi ada bakat muzik dalam diri seseorang, selagi itulah bakat itu wajar dilihat dan dihargai,” katanya.

Tambahnya, penyertaan pelbagai generasi juga penting dalam memastikan minat terhadap seni dan kebudayaan dapat diteruskan, selain menyediakan ruang kepada bakat tempatan untuk berkembang.
“Impian dan bakat muzik anak-anak serta sahabat veteran kita adalah sesuatu yang wajar kita raikan bersama.
“Mari kita terus sokong setiap suara yang berani naik ke pentas,” katanya.
Beliau turut menghargai usaha Kelab Menyanyi Kebudayaan dan Sosial Jia Jia Sarikei dalam menyediakan platform kepada peminat seni suara untuk berkumpul, berinteraksi dan mengetengahkan kebolehan masing-masing menerusi pertandingan.
Pada majlis sama, Tiong Sii menyerahkan sumbangan RM10,000 kepada Kelab Menyanyi Kebudayaan dan Sosial Jia Jia Sarikei bagi menyokong pelaksanaan aktiviti tahunan kelab tersebut.
Oleh Earl Anek





